​’Zon selesa’: Kenapa melenting bila wartawan tanya?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang, Yusfarizal Yussoff mempersoal, tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang dilihat melenting dan menggunakan frasa ‘keluar zon selesa’ terhadap seorang wartawan.

- Advertisement -

​Menurut beliau, isu utamanya bukanlah penggunaan Bahasa Inggeris (BI), tetapi pemikiran dan reaksi menteri berkenaan apabila berhadapan dengan soalan.

​”Berbahasa Melayu bukan selesa. Ia berbangga. Bangga seperti orang Jepun dan Korea,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor.

​Beliau berpendapat, walaupun Bahasa Inggeris diperlukan untuk komunikasi korporat, program kerajaan sepatutnya lebih elok memartabatkan Bahasa Melayu.

​”Tapi itu bukan isunya. Isunya ialah pemikiran. Kenapa melenting bila ditanya? Kenapa keluar ayat ‘keluar zon selesa’. Ini merendahkan, seolah-olah berbahasa Melayu, dan keengganan berbahasa Inggeris untuk orang-orang yang selesa sahaja,” soalnya.

​Yusfarizal menambah, pelancong dari seluruh dunia datang ke Malaysia bukan untuk ‘rasa tergolong’ (belonging) dengan Bahasa Inggeris, sebaliknya mereka mahu merasai budaya dan melihat alam semula jadi negara ini.

​”Gunalah BI kalau perlu komunikasi. Memudahkan. Tapi Bahasa Melayu didaulatkan,” tegasnya yang juga merupakan anggota Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS.

​Beliau turut mempertahankan tindakan wartawan itu yang hanya menjalankan tugas.

​”Apa salah wartawan bertanya? Itu tugas. Tidak perlu ugut untuk telefon bosnya. Dia cari makan. Macam kamu,” katanya.

​Dalam pada itu, Yusfarizal turut membangkitkan isu pemaju perumahan yang sepatutnya ditegas oleh menteri kerana menukar nama-nama asal tempat kepada nama Inggeris.

​”Yang patut kamu tegas adalah pemaju. Yang telah menukar nama-nama asal tempat kepada nama Inggeris. Untuk keluar zon selesa? Untuk nampak ‘cool’?

​”Semua tempat mahu letak ‘Heights’, ‘East’, ‘West’, ‘Ville’ dan sebagainya. Apa salah Gombak, Sentul, Dengkil?” soalnya.

​Beliau menggesa agar wartawan dihormati dan kebebasan media tidak disekat.

​”Hormati wartawan. Sudahlah suara mereka makin disekat, adakah tangan mereka juga mahu diikat? Kerajaan yang menyekat itulah yang gagal keluar dari zon selesa,” tambahnya.

​Semalam, kumpulan media mengecam tindakan seorang menteri yang dikatakan mengugut wartawan selepas disoal mengenai penggunaan bahasa Inggeris bagi tema pelancongan dalam satu acara rasmi.

​Terdahulu, tular video Kor Ming berhubung isu yang berlaku pada prapelancaran projek ‘I Lite U’ sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di ibu negara, Rabu lalu.

​Dalam acara itu, seorang wartawan bertanya mengapa tema projek berkenaan menggunakan bahasa Inggeris dan menteri berkenaan menjelaskan bahawa sebagai acara pelancongan, penggunaan bahasa Inggeris lebih sesuai untuk menarik pelancong antarabangsa.

​Namun, beliau kemudian memaklumkan kepada wartawan Utusan Malaysia berkenaan bahawa akan menghubungi ketua pengarang akhbar itu berhubung soalan yang diajukan. – HARAKAHDAILY 2/11/2025

- Advertisement -