Pimpinan kerajaan perlu berhemah dengan wartawan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setiap pimpinan kerajaan perlu berhemah ketika berurusan dengan media tanpa mengira keadaan atau situasi.

- Advertisement -

Beliau berkata, peranan media amat penting dalam menyampaikan mesej serta maklumat kepada masyarakat.

Katanya, sebarang tindakan yang boleh dianggap menekan atau menakut-nakutkan wartawan tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi melibatkan pemimpin kanan kerajaan.

“Saya tidak tahu sepenuhnya senario yang berlaku, tetapi apapun keadaan, pimpinan perlu berhemah dengan sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi dengan media.

“Saya rasa itu hak media untuk bertanya. Sama seperti dalam Parlimen, bukan bermaksud kita menyerang tetapi sekadar bertanya atau menjawab respons dari pihak kerajaan,” ujarnya selepas merasmikan Pasar Siti Fatimah di Berek 12, di sini.

Tegas Takiyuddin, wartawan yang bertanya kepada Kor Ming hanya menjalankan tanggungjawab sebagai wartawan dan berhak mendapatkan penjelasan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden semasa program pra-pelancaran projek ‘I Lite U’ sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 apabila wartawan Utusan Malaysia bertanya mengenai penggunaan bahasa Inggeris sebagai tema projek tersebut.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dikatakan tidak berpuas hati dengan soalan wartawan berkenaan dan mengugut untuk membuat aduan kepada ketua pengarang akhbar terbabit.

“Kita sebagai seorang menteri jawab sahajalah dengan berhemah dan saya rasa perkara itu amat tidak wajar serta tidak sepatutnya berlaku, terutama daripada pimpinan kanan kerajaan bertaraf menteri,” ujarnya.

Menurut Takiyuddin, media memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat dan membentuk kefahaman rakyat.

Katanya, semua pihak mesti menghormati tugas mereka dan tidak bertindak dengan cara yang boleh menjejaskan kebebasan media.

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia turut mengecam tindakan itu dan menyifatkannya sebagai cubaan menakut-nakutkan media serta menekan kebebasan wartawan di negara ini. – HARAKAHDAILY 2/11/2025

- Advertisement -