
KUALA LUMPUR: Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff menggesa Kerajaan Persekutuan agar tidak menjejaskan kepentingan negeri-negeri pengeluar sumber unsur nadir bumi (REE), susulan perjanjian dagang yang baru-baru ini ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Beliau berkata, khususnya Kelantan, merupakan antara negeri yang kaya dengan sumber REE tidak radioaktif (NREE), dengan deposit kedua terbesar di Malaysia selepas Terengganu dan dianggarkan bernilai ratusan bilion ringgit.
“Berbeza dengan petroleum yang terletak di dasar laut, REE sepenuhnya di daratan sekali gus berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa negeri dan pemanfaatannya seharusnya memberi manfaat langsung kepada rakyat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Martina berkata, sumber berharga itu wajar diproses di Kelantan bagi meningkatkan nilai tambah dan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat negeri.
“REE sebaiknya diproses di Kelantan sebanyak mungkin sebelum dieksport. Langkah ini dapat meningkatkan nilai tambah, membangunkan sektor industri hiliran dan huluan serta membuka peluang pekerjaan dan latihan kemahiran tinggi untuk generasi muda.
“Mengambil atau mengeksport bahan mentah sahaja bukan pendekatan yang memberi manfaat maksimum kepada rakyat negeri,” ujarnya.
Mengulas perjanjian Malaysia–Amerika Syarikat yang menetapkan tiada sekatan atau kuota eksport REE ke negara tersebut, beliau menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana kebebasan negeri untuk menentukan dasar sendiri.
“Sejauh mana negeri masih mempunyai kebebasan untuk menentukan dasar sendiri bagi menapis pelabur atau mengehadkan eksport demi menjamin nilai tambah tempatan?
“Adakah tindakan tersebut akan dianggap bertentangan dengan komitmen antarabangsa yang telah dibuat Kerajaan Persekutuan?” soalnya.
Beliau turut mengingatkan agar pengalaman pahit negeri pengeluar petroleum yang tidak menerima agihan royalti secara adil tidak lagi berulang.
“Oleh itu, kita perlu memastikan sejarah sebegini tidak berulang dengan REE. Sumber negeri perlu dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat dan pembangunan ekonomi tempatan, sambil mengekalkan kedaulatan ekonomi negeri,” katanya.
Menurutnya, pelaburan luar dialu-alukan jika membawa teknologi dan kepakaran baharu, namun ia mesti dilakukan secara telus, adil dan menghormati hak negeri.
“Sumber negeri tidak boleh dijadikan alat rundingan politik atau diplomatik,” katanya.
Sehubungan itu, Wan Martina menggesa kerajaan persekutuan membentangkan isi penuh perjanjian Malaysia–Amerika Syarikat di Parlimen dan Majlis Tanah Negara, selain mengadakan rundingan khas dengan negeri-negeri pengeluar sebelum sebarang dasar atau lesen dikeluarkan.
“REE bukan sekadar mineral ia adalah asas kepada pembangunan teknologi, tenaga hijau, pertahanan negara dan pertumbuhan industri masa depan.
“Masa depan negeri pengeluar dan negara perlu berada di tangan rakyat dan negeri sendiri, bukan ditentukan sepenuhnya oleh pihak luar,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/11/2025











