PRN Sabah: PERIKATAN NASIONAL isytihar calon 11 Nov

- Advertisement -

SEPANGGAR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengisytiharan calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan diadakan pada 11 November ini.

- Advertisement -

Menurutnya, pelancaran jentera PN seluruh Sabah pula akan berlangsung pada 7 atau 8 November sebelum pengisytiharan calon dibuat secara rasmi.

“Calon-calon akan melalui proses penelitian, dalam PAS ada Majlis Syura untuk menilai, manakala dalam PN kita ada akujanji kepada calon sebelum watikah diserahkan pada 11 November nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jentera dan Hari Keluarga Mega PN Karambunai di Padang Taman Sepanggar, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS, N. Balasubramaniam Pengarah Pilihan Raya Negeri Sabah, Tan Sri Annuar Musa, Timbalan Pengerusi PN Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan dan Setiausaha PAS negeri, Sahar Abdul Majid.

Katanya, PN akan menampilkan calon terbaik yang mempunyai keperibadian dan keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan sekadar calon yang popular.

Selain itu, beliau memuji prestasi bekas ADUN Lantikan, Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang terus bekerja untuk rakyat meskipun tidak mempunyai kawasan khusus.

“Respons pengundi sangat positif terhadap beliau kerana sentiasa turun padang dan membantu rakyat tanpa mengira latar belakang,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau turut mengakui terdapat kemungkinan pertambahan kerusi DUN yang akan ditandingi PN dalam PRN Sabah berikutan sambutan baik rakyat di beberapa kawasan.

“Sentimen politik di Sabah ini sangat dinamik, dan kita yakin rakyat Sabah akan terbuka untuk memilih Perikatan Nasional dalam PRN kali ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2025

- Advertisement -