Taklimat bukan Kaukus, jangan kelirukan rakyat

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi MdJidin menegaskan bahawa beliau tidak pernah mempersoalkan soal taklimat sebaliknya menuntut penjelasan berhubung Kaukus Parlimen Mengenai Pengenaan Tarif Timbal Balas Ke Atas Malaysia oleh Amerika Syarikat yang masih belum dipanggil untuk bermesyuarat.

- Advertisement -

Menurut beliau, semasa sesi penggulungan Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) oleh Timbalan Menteri, Liew Chin Tong pada Khamis lalu, beliau telah bertanyakan mengapa mesyuarat Kaukus berkenaan tidak diadakan, namun soalan itu tidak dijawab sehingga sesi berakhir.

“Susulan itu, ada pihak cuba memberi gambaran seolah-olah saya tidak menceritakan perkara sebenar kerana telah ada taklimat diberikan oleh MITI kepada Ahli Parlimen PN pada 19 Ogos 2025. Ini tidak benar. Saya bangkitkan tentang Kaukus Parlimen, bukan taklimat,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Radzi menjelaskan bahawa cadangan penubuhan Kaukus Parlimen tersebut dikemukakan oleh Ketua Pembangkang dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 5 Mei 2025, dan Menteri MITI ketika itu bersetuju dengan penubuhannya.

Malah, MITI turut menghantar surat rasmi bertarikh 16 Mei 2025 kepada Ketua Pembangkang mengenai pembentukan Kaukus yang dianggotai 11 ahli, dengan Ahli Parlimen Paya Besar sebagai pengerusi.

“Kaukus ini penting kerana rundingan perdagangan seperti ini melibatkan masa depan dan kedaulatan negara. Dalam kes TPPA dahulu, Kaukus Parlimen Malaysia mengenai TPPA telah bermesyuarat sebanyak 15 kali sebelum dibentang di Parlimen. Pendekatan itu jauh lebih telus dan menghormati institusi Parlimen,” katanya.

Mengulas mengenai taklimat MITI, beliau memaklumkan bahawa program tersebut hanyalah satu sesi ringkas selama kira-kira 1 jam 30 minit pada 19 Ogos 2025 di Menara MITI.

Beliau hadir atas rasa tanggungjawab, namun menegaskan bahawa ia tidak boleh dianggap sebagai pengganti kepada mesyuarat rasmi Kaukus Parlimen.

“Hakikatnya, mesyuarat Kaukus Parlimen tidak pernah dipanggil sehingga Kerajaan mengumumkan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–AS telah ditandatangani pada 26 Oktober 2025. Mengapa terburu-buru? Apa yang hendak disembunyikan Kerajaan?” soal beliau.

Dr Radzi turut menyeru rakyat agar tidak terpedaya dengan cubaan mengelirukan fakta dan menegaskan bahawa beliau hanya menuntut ketelusan dalam urusan perjanjian yang memberi kesan besar kepada negara.

“Saya serahkan kepada rakyat untuk menilainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2025

- Advertisement -