
ARAU: Program Ziarah Kasih anjuran Pejabat Menteri Besar Perlis dengan kerjasama Pertubuhan Mata Ayer Care telah membawa sinar kebahagiaan kepada keluarga adik Ayyash Affan Rosley, 4 tahun, yang menghidap penyakit saraf Spastik Quadriplegic Cerebral Palsy sejak lahir.
Kunjungan penuh kasih itu diketuai oleh Pegawai Khas Menteri Besar, Norhasmayati Che Me dan Syahirah Mat Salleh bersama Ahli Jawatankuasa Mata Ayer Care.
Turut hadir isteri Menteri Besar, Najwa Othman dan Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Perpaduan serta Alam Sekitar, Wan Badariah Wan Saad.
Dalam kunjungan tersebut, keluarga adik Ayyash menerima sumbangan berupa pek makanan, wang tunai dan lampin pakai buang sebagai tanda keprihatinan terhadap beban yang ditanggung keluarga ini.
Adik Ayyash yang terlantar sepenuhnya bergantung kepada penjagaan ibunya, Noriza Abu Bakar, seorang suri rumah, sementara bapanya bekerja sebagai juruteknik pendawaian.
Pasangan ini tabah membesarkan enam orang anak dalam suasana penuh kasih sayang dan kesabaran.
Program yang turut disokong oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Mata Ayer ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh agenda kebajikan dan keprihatinan terhadap rakyat yang memerlukan.
Pejabat Menteri Besar Perlis menzahirkan komitmen untuk terus memperluas jaringan bantuan serta mendekati masyarakat melalui inisiatif seperti Ziarah Kasih, selaras dengan aspirasi Perlis Berkebajikan yang menjadi teras pentadbiran negeri. – HARAKAHDAILY 1/11/2025












