Pengampunan Ilahi lenyapkan dosa dan rekod kesalahan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa seorang manusia boleh diisytiharkan bebas, diraikan seolah-olah tiada dosa, diangkat kembali ke pangkuan masyarakat dengan jawatan dan sanjungan tinggi, namun dalam rekod mahkamah, sabitan kesalahan tetap kekal.
 
Menurutnya, hukuman asal tidak pernah dipadam dan catatannya masih hitam terpahat di lembaran undang-undang, walaupun seseorang itu bebas di mata manusia.
 
“Allah SWT, Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Adil. Rekod perbuatan manusia di sisi-Nya tidak akan hilang begitu sahaja. Setiap dosa, setiap kejahatan, setiap khianat dan tipu daya, semuanya disimpan rapi dalam catatan yang tidak pernah salah,” ujar beliau.
 
Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu menyatakan, apabila tiba hari manusia dikembalikan kepada-Nya, semua rekod itu akan dibentangkan di hadapan seluruh makhluk dan tidak ada satu pun yang tertinggal.
 
“Saat itu terbukalah segala rahsia. Orang yang disangka suci rupa-rupanya kotor. Yang disangka jujur rupa-rupanya penuh helah. Yang disanjung di dunia, mungkin menjadi bahan malu di akhirat.
 
“Tidak ada lagi ruang untuk berpura-pura, tidak ada tempat untuk bersembunyi. Semuanya akan dipersoalkan oleh Allah,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor, Kelantan.
 
Sebab itulah menurutnya, umat Islam diajar untuk sentiasa memohon ampun supaya Allah menghapuskan terus segala rekod kesalahan dan dilepaskan daripada hukuman.
 
“Kerana ada hamba yang Allah ampunkan, namun rekod dosanya masih kekal. Dia tidak dihukum, tetapi catatannya tetap ada. Namun ada juga yang Allah beri kemaafan yang sempurna.
 
“Iaitu pengampunan yang bukan sahaja memadam dosa, bahkan menghapuskan rekodnya, seolah-olah ia tidak pernah wujud sama sekali,” tegasnya lagi.
 
Menurut beliau, Rasulullah SAW mengajarkan satu doa yang indah, bermaksud, ‘Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Engkau mencintai keampunan, maka ampunilah aku’.
 
“Doa ini memohon agar Allah melupakan terus dosa-dosa kita, melepaskan dari azab, menyucikan seluruh catatan hidup hingga kembali putih bersih,” terangnya lagi.
 
Beliau menegaskan, inilah pengampunan Ilahi yang menutup, membersih dan melupakan dosa lenyap, rekod hilang, jiwa kembali suci seperti bayi yang baru dilahirkan.
 
“Itulah pengampunan yang kita dambakan,” katanya – HARAKAHDAILY 1/11/2025

- Advertisement -
- Advertisement -