Perlis suburkan budaya inovasi melalui Idea Bestari

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis terus memperkukuh budaya inovasi dan kreativiti menerusi penganjuran Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Anugerah Idea Bestari 2025 yang berlangsung di Dewan 2020, Persiaran Wawasan kelmarin.

- Advertisement -

Majlis berprestij itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli yang turut meluangkan masa meninjau hasil inovasi tempatan selepas menyampaikan anugerah kepada para pemenang.

Program Idea Bestari 2025 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Perlis melalui Pejabat Exco Belia dan Sukan serta Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Perlis, dengan kerjasama strategik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Juga melibatkan Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (CIC) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Majlis Belia Negeri Perlis (MBN).

Penganjuran kali ini diadakan bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis, sekali gus menzahirkan komitmen kerajaan negeri dalam memupuk budaya inovasi, penyelidikan dan kreativiti dalam kalangan masyarakat.

Turut hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Mohd Ridzuan Hashim, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain.

Lebih 100 kumpulan penyertaan melibatkan hampir 500 peserta daripada pelbagai peringkat terdiri daripada penyelidik universiti, komuniti setempat dan pelajar sekolah telah mengambil bahagian.

Program ini menjadi platform penting memperkenalkan hasil inovasi tempatan berpotensi dikomersialkan, di samping memperkukuh jaringan antara kerajaan, institusi akademik dan masyarakat.

Mohd Shukri turut melawat tapak pameran inovasi bagi meninjau hasil-hasil ciptaan peserta dan teruja dengan pelbagai idea segar dan kreatif yang dipamerkan, menggambarkan potensi besar Perlis dalam bidang inovasi dan teknologi.

Menurut beliau, usaha seperti ini amat penting dalam membina masyarakat berfikiran maju, kreatif dan berdaya saing, selari dengan hasrat menjadikan Perlis sebagai negeri berorientasikan teknologi dan pengetahuan.

“Program ini adalah satu program yang baik, kita boleh lihat pelajar-pelajar sangat kreatif dan berinovasi. Insya-Allah kita akan cari cara untuk mendapatkan dana bagi bantu mereka meneruskan usaha ciptaan mereka, kalau tidak ia takkan sampai ke mana,” ujar beliau.

Menurut beliau, Idea Bestari 2025 bukan sekadar mengiktiraf pencapaian para inovator, tetapi turut menjadi simbol semangat baharu dalam membina Perlis yang progresif dan berdaya cipta.

Kerajaan Negeri komited untuk terus membangunkan ekosistem inovasi yang mapan, menjadikan ilmu dan kreativiti sebagai teras utama ke arah masa depan negeri yang lebih sejahtera dan berdaya saing. – HARAKAHDAILY 1/11/2025

- Advertisement -