
JERLUN: Empat pelajar lelaki yang disyaki terlibat dalam kes rogol berkumpulan ke atas seorang pelajar tingkatan tiga di Alor Gajah, Melaka, wajar dibatalkan kelayakan mereka untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim berkata, tindakan itu perlu bagi memberi ruang secukupnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan rapi, termasuk proses tahanan reman dan pendakwaan tanpa terikat dengan jadual peperiksaan awam.
Tegasnya, isu yang lebih besar dan perlu diutamakan adalah kebajikan mangsa serta memastikan keadilan dapat ditegakkan dan kes seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
“Secara umumnya mereka ada hak untuk ambil peperiksaan, cuma dalam jangka masa sebulan sebelum SPM bermula elok pihak kementerian batalkan kelayakan mereka untuk duduki peperiksaan bagi beri ruang kepada pihak berwajib untuk jalankan siasatan (yang perlukan tahanan reman) dan pendakwaan,” katanya.
Beliau yang juga merupakan seorang bekas guru menggesa agar program ‘Sekolah Selamat’ dan ‘Sekolah Penyayang’ diperkasakan semula secara menyeluruh bagi menyuburkan budaya kasih sayang dan keselamatan melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum oleh semua warga sekolah.
“Kawalan keselamatan yang ketat seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang merata dan aktif, rondaan pengawal keselamatan yang kerap, serta peringatan keselamatan kepada pelajar secara berkala perlu dilaksanakan dengan serius,” ujarnya.
Mengulas mengenai peranan ibu bapa, Azhar menasihatkan agar ibu bapa mangsa memberikan sokongan emosi yang tinggi kepada anak mereka dan segera mendapatkan khidmat kaunseling daripada pihak berautoriti.
“Ibu bapa suspek pula perlu memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan dan tindakan susulan,” tambah beliau.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar perempuan yang menjadi mangsa itu mengalami trauma teruk selepas dirogol secara bergilir-gilir oleh dua pelajar seniornya dalam sebuah kelas pada 2 Oktober lalu, kira-kira jam 2.50 petang.
Perbuatan keji itu menjadi lebih teruk apabila ia dirakam oleh seorang lagi rakan suspek menggunakan telefon bimbit, manakala seorang lagi bertindak mengawal keadaan di luar kelas.
Kejadian terbongkar selepas video perbuatan tidak bermoral itu tersebar dalam kalangan pelajar sebelum dimaklumkan kepada guru, yang kemudiannya menghubungi ibu mangsa.
Mangsa pada ketika itu kembali ke kelasnya untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal sebelum diserang oleh suspek.
Berikutan laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa, keempat-empat suspek yang berusia 17 tahun telah ditahan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kesemua suspek telah direman selama enam hari sehingga 16 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan terkini, dilaporkan bahawa keempat-empat calon SPM itu tidak akan menduduki peperiksaan di sekolah mereka, sebaliknya akan ditempatkan di sebuah lokasi khas yang akan ditetapkan kelak. – HARAKAHDAILY 13/10/2025











