
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menanggung hampir RM100,000 kos pembinaan setiap unit rumah di bawah Skim Perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN) bagi membantu golongan nelayan berlesen B40 memiliki kediaman sendiri pada harga mampu milik.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, kos sebenar pembinaan sebuah rumah hampir RM150,000, namun kerajaan negeri bersetuju menjual kepada nelayan pada harga RM54,000 sahaja.
“Harga kos sebuah rumah adalah hampir RM150,000, tetapi kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan kepada nelayan yang layak pada harga RM54,000 sahaja. Baki kos pembinaan itu sepenuhnya akan ditanggung oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Projek Khas PSN di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Beliau berkata, keseluruhan projek PSN melibatkan kos RM33 juta, dengan RM20 juta ditanggung oleh kerajaan negeri dan RM13 juta lagi disumbangkan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Kos keseluruhan ini tidak termasuk nilai tanah yang telah diberikan secara percuma oleh kerajaan negeri,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi.
Azman berkata, tiga kawasan dikenal pasti bagi pelaksanaan skim berkenaan iaitu Pulau Skepeng di Kemaman, Benting Lintang di Besut, dan Seberang Penarik di Setiu.
Katanya, dua projek iaitu PSN Kemaman dan PSN Besut telah siap sepenuhnya, manakala proses pemilihan penerima sedang dilaksanakan.
“Dalam mesyuarat hari ini, kita telah menerima senarai cadangan peserta daripada kalangan nelayan berlesen B40. Insya-Allah, majlis penyerahan kunci rumah-rumah ini dijadualkan pada awal Disember 2025,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/10/2025




















