
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, menggesa kerajaan membatalkan jemputan terhadap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia, sebagai tanda kehormatan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Maaf Tok, yang dijemput datang ‘kenduri’ ini bukan pihak yang bertelagah, tetapi pihak penjajah. Penjajah dan penjenayah yang menjarah tanah, nyawa dan maruah saudara kita di bumi Palestina,” ujarnya membidas kenyataan Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Mohamad Hasan.
Mohamad sebelum itu menyatakan jemputan kepada Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dibuat atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, bukan jemputan dua hala, serta menegaskan ia adalah ‘kenduri ASEAN’, bukan ‘kenduri Malaysia’.
Beliau menegaskan Malaysia sebagai ‘Dato’ Lembaga’ tidak boleh bersikap selektif dalam menjemput ketua negara ke mesyuarat itu dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) perlu dilihat sebagai kumpulan negara yang mengamalkan dasar berkecuali.
Walau bagaimanapun Mohd Syahir mengingatkan supaya kerajaan mendengar suara bantahan rakyat serta pemimpin lain terhadap langkah itu dan menilai semula keputusan menjemput Trump.
“Batalkan jemputan, Tok. Ramai anak buah dan pembesar kabilah telah menyuarakan bantahan,” jelasnya yang juga Penolong Setiuasaha Agung PAS.
Setiausaha Politik Presiden PAS itu turut mengungkap perbilangan adat pusaka warisan sebagai pedoman dalam membuat keputusan berkaitan isu itu.
“Adat bersendi hukum,
Hukum bersendi Kitabullah,
Kuat adat, tak gaduhkan hukum,
Kuat hukum, tak gaduhkan adat,
Ikut hukum, muafakat,
Ikut adat, muafakat,” ungkapnya.
Menurut beliau, dengan sidang Parlimen yang bermula hari ini, isu berkenaan wajar dibincangkan secara mendalam di Dewan Rakyat bagi mencari pendirian terbaik negara.
“Batalkan jemputan, Tok. Itu tindakan yang terhormat,” tegas Mohd Syahir yang juga Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional.
Sebelum itu, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempersoalkan pendirian kerajaan Malaysia berhubung jemputan kepada Trump ke Sidang itu dan meragui manfaat pertemuan dengan pemimpin yang dianggap mewakili kepentingan blok Barat penyokong Israel.
Beliau turut mempertikai sama ada Trump layak diajak bermusyawarah dalam usaha perdamaian Gaza serta mengingatkan agar Malaysia berhati-hati dengan syarat perdamaian yang menafikan kedaulatan Islam di Palestin.
Jelasnya, langkah Amerika Syarikat menonjolkan Trump dalam isu Gaza hanyalah usaha menyelamatkan Israel susulan tekanan dunia yang semakin menyokong penubuhan negara Palestin.
Dalam isu sama, Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dilaporkan menggesa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan antaranya kerana menjemput Trump ke Kuala Lumpur.
Beliau menyifatkan Trump sebagai ‘pelakon terbesar’ dalam isu Palestin dan menolak kehadirannya ke Malaysia dan Hamzah turut mengkritik pendirian kerajaan yang dianggap bertentangan dengan perjuangan membela rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 6/10/2025











