
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyelar tindakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang menyediakan minuman beralkohol dalam majlis rasmi anjuran kementerian berkenaan baru-baru ini.
Menurut Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya, program Global Travel Meet 2025 yang diadakan bagi mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026 jelas menyediakan hidangan arak kepada para tetamu, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dalam majlis rasmi kerajaan.
“DUPP ingin mengingatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, (Datuk Seri Tiong King Sing) bahawa hidangan minuman beralkohol seperti itu tidak patut ada dalam mana-mana acara rasmi.
“Kerana ia bertentangan dengan budaya ketimuran yang dipegang oleh Malaysia. Bahkan, ia juga bukan sesuatu yang perlu dipromosi mewakili budaya rakyat Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan sama ada arak menjadi sebahagian daripada tarikan promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 seperti dirancang kementerian berkenaan.
Ahmad Yahaya turut menyatakan kekesalan apabila kementerian itu secara terbuka bekerjasama dengan Starbucks Malaysia yang kini menjadi sasaran boikot masyarakat dunia.
“Ketika rakyat Malaysia memfokuskan solidariti umat Islam Palestin dan Global Sumud Flotilla, tiba-tiba Kementerian di Malaysia secara terbuka mendukung kembali syarikat yang diboikot oleh rakyat dalam negara ini.
“Adakah ia usaha membela taikun besar yang mengalami kemerosotan perniagaan disebabkan boikot rakyat Malaysia terhadap Starbucks khasnya dan rejim Zionis amnya?” soalnya.
Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan sama ada tindakan itu menggambarkan wajah sebenar pentadbiran Madani yang dilaungkan.
“Satu sisi mereka kelihatan lantang bersama-sama rakyat dalam isu Palestin, di satu sisi lain pula, mereka turut mendukung produk yang telah membelasah umat Islam di sana tanpa henti.
“Di mana mereka letak maruah pejuang umat Islam di Malaysia dalam isu Palestin?” katanya. -HARAKAHDAILY 6/10/2025




















