
ALOR SETAR: “PAS merupakan sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang, selari dengan keperluan negara yang kini berdepan suasana politik sarat emosi, pertentangan serta persaingan kuasa,” ujar Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Professor Dr Haim Hilman Abdullah.
Menurut beliau, dari sudut pandang rakyat, majoriti masyarakat mahukan perubahan segera agar kebajikan mereka terbela dan negara kembali berada di landasan serta potensi sebenar.
Pada asasnya kata beliau, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mendambakan kepimpinan yang bersih, berintegriti, adil dan berwawasan.
“Politik inilah yang ditawarkan oleh PAS kepada rakyat Malaysia. Telah tiba masanya rakyat memberi perhatian serius dan peluang kepada PAS untuk memimpin negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau menjelaskan, PAS hari ini membawa pendekatan politik baharu dengan mengajak semua pemimpin Melayu dan bukan Melayu daripada pelbagai latar belakang kaum dan parti untuk bersama-sama mengubah kompas politik masing-masing, daripada politik kepartian yang terlalu taksub kepada politik pembaharuan dan gagasan bersama.
Sehubungan itu katanya, PAS mengajak semua pemimpin yang berpegang kepada nilai murni seperti bersih, berintegriti, inklusif, adil dan berwawasan untuk menyertai PAS atau membawa parti masing-masing bersama PAS dalam gagasan Perikatan Nasional atau Muafakat Nasional.
Dr. Haim Hilman turut mengakui bahawa cabaran terbesar PAS ketika ini ialah masih terdapat sebahagian orang Melayu dan ramai bukan Melayu yang kurang memahami perjuangan sebenar PAS.
Keadaan itu katanya, diperburukkan dengan pelbagai label negatif yang dilemparkan oleh musuh politik, termasuk dakwaan PAS menghadkan kebebasan agama dan budaya bukan Islam, memaksa hukum Islam ke atas bukan Islam, melarang hiburan serta tidak mesra kaum lain.
“Tanggapan ini tidak benar. Lihat sahaja keharmonian antara kaum di negeri-negeri yang ditadbir PAS seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Semua kaum hidup aman dan damai serta bebas mengamalkan agama dan budaya masing-masing,” tegasnya.
Beliau menambah, tidak pernah ada bukti menunjukkan orang bukan Islam dipaksa menukar agama di keempat-empat negeri tersebut.
Malah PAS jelasnya, tidak pernah melarang hiburan dan kebebasan bersosial selagi tidak bercanggah dengan tatasusila dan nilai murni yang didukung oleh semua agama dan bangsa.
Menurut Dr Haim, keakraban hubungan antara orang Melayu dan bukan Melayu juga lebih jelas di negeri-negeri yang ditadbir PAS, sekali gus membuktikan bahawa PAS mampu menjaga keharmonian masyarakat majmuk.
Dalam konteks perpaduan nasional, beliau berkata PAS amat memahami bahawa perpaduan kaum merupakan asas penting kestabilan negara.
“Atas sebab itu, PAS menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang dianggotai oleh bukan Islam untuk bersama-sama menyumbang kepada perjuangan parti,” ujarnya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Kedah itu, PAS juga sentiasa bersedia bekerjasama dengan semua parti Melayu dan bukan Melayu demi membina Malaysia yang lebih sejahtera.
Dr Haim turut menyentuh komitmen PAS dalam isu pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan ekonomi negara.
Menurutnya, PAS menyedari sistem pendidikan sedia ada masih belum adil khususnya kepada golongan miskin tanpa mengira kaum, justeru PAS komited memastikan akses pendidikan berkualiti dari peringkat rendah hingga tinggi.
Dalam aspek kesihatan pula, beliau berkata PAS memahami kesukaran rakyat mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang cepat, murah dan berkualiti di hospital kerajaan dan akan memperjuangkan penambahbaikan akses serta kualiti perkhidmatan kesihatan untuk semua rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Selain itu, PAS juga memberi fokus kepada penyediaan peluang pekerjaan bergaji tinggi melalui peningkatan kemahiran rakyat, di samping memperkasa sektor pertanian dan sektor-sektor lain agar Malaysia tidak hanya bergantung kepada eksport komoditi atau barangan separuh siap, sebaliknya menjadi pengeksport produk akhir bernilai tinggi.
Mengulas keyakinan PAS untuk memimpin negara, beliau berkata kepimpinan PAS mempunyai iltizam tinggi, didukung oleh ramai profesional dan teknokrat berkemahiran dalam pelbagai sektor.
PAS juga terbuka memanfaatkan kepakaran semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau ideologi politik serta percaya setiap individu berhak berpartisipasi dalam politik selagi tidak mengganggu tugas hakiki.
“PAS adalah parti yang pimpinannya paling kurang terpalit dengan rasuah, mengamalkan hidup sederhana, berdisiplin dan berusaha berlaku adil kepada semua,” katanya.
Beliau menegaskan, PAS telah membuktikan di empat negeri yang ditadbirnya bahawa tiada kekacauan atau pergaduhan kaum berlaku, rumah ibadat bukan Islam dilindungi serta kehidupan rakyat Islam dan bukan Islam sentiasa aman dan damai.
Dr Haim Hilman juga menyeru rakyat Malaysia agar membuka ruang dialog untuk mengenali PAS dengan lebih dekat.
“Kenalilah PAS. PAS adalah parti dari rakyat biasa untuk semua. PAS tahu derita rakyat dan tidak pernah berhenti berjuang. PAS For All,” katanya. HARAKAHDAILY 6/1/2025











