One-centric government: Antara warisan lama dan wajah baru kerajaan rakyat

- Advertisement -

PERBAHASAN mengenai masa depan pentadbiran negara tidak boleh lagi disederhanakan kepada soal pertukaran parti pemerintah semata-mata. Lebih enam dekad di bawah Barisan Nasional (BN), disusuli episod Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan campuran selepasnya, membuktikan satu kegagalan struktur yang berulang. Malaysia masih terperangkap dalam model pentadbiran one-centric government di mana kuasa tertumpu kepada elitis, institusi dipinggirkan, dan rakyat sekadar menjadi pemerhati kepada keputusan yang dibuat di atas nama kestabilan.

Realitinya, selagi budaya kuasa berpusat ini tidak diputuskan, mana-mana kerajaan, sama ada BN, PH ataupun selepas ini Perikatan Nasional (PN) hanya akan berfungsi sebagai pengurus kitaran lama dengan wajah baharu. Justeru, persoalan sebenar hari ini bukan lagi siapa yang memerintah, tetapi bagaimana kuasa itu diurus, dan sama ada keberanian politik wujud untuk membina sebuah kerajaan rakyat yang benar-benar memihak kepada institusi, keadilan dan amanah.

Dalam konteks ini, cadangan menuju ‘kerajaan rakyat’ bukan slogan baharu, tetapi satu keperluan mendesak. Lebih-lebih lagi bagi Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa membawa politik bersih, stabil dan berprinsip. Persoalannya, adakah PN bersedia melakukan pembaharuan sistem, atau sekadar mengurus kuasa dalam acuan lama one-centric government?

One-centric government: Warisan BN yang panjang

Pentadbiran BN selama lebih 60 tahun membentuk satu budaya politik di mana kuasa terlalu tertumpu kepada pusat, sama ada di peringkat Perdana Menteri, Majlis Tertinggi parti, atau elit politik tertentu. Walaupun negara mencapai pembangunan fizikal, institusi demokrasi gagal berkembang secara seimbang.

Parlimen sering dilihat sebagai medan meluluskan keputusan eksekutif, bukan tempat perbahasan substantif. Badan kehakiman dan penguatkuasaan pula terdedah kepada persepsi campur tangan politik. Rakyat menjadi penerima dasar, bukan rakan dalam membentuknya.

Model ini melahirkan politik elitis dimana segelintir kelompok minority atau individu dominan menentukan haluan negara, manakala majoriti marhaen diminta akur demi ‘kestabilan’ kerajaan yang terpilih setiap kali selepas pilihan raya.

PH dan ilusi reformasi

Kemenangan PH pada 2018 disambut sebagai peluang membina kerajaan rakyat. Namun pengalaman menunjukkan bahawa PH lebih banyak mewarisi struktur lama daripada membaikinya. Retorik reformasi tidak disusuli reformasi kuasa yang sebenar.

Budaya elit berterusan dalam bentuk baharu. Parlimen masih gagal dimartabatkan sepenuhnya. Pelantikan penting tetap menampak ia dipolitikkan. Rakyat mula sedar bahawa masalah sebenar bukan parti mana memerintah, tetapi model pentadbiran yang terus menafikan hak kuasa rakyat dan institusi.

- Advertisement -

PN dan risiko mengulangi kesilapan sama

Perikatan Nasional lahir sebagai reaksi terhadap kegagalan politik lama. Namun PN juga tidak kebal daripada risiko mengulangi corak one-centric government jika:

a. Sebarang keputusan tertumpu kepada kelompok kecil kepimpinan,
b. Parti mendominasi pentadbiran, dan
c. Institusi tampak lebih dijadikan alat kestabilan politik jangka pendek.

Jika PN gagal melakukan anjakan sistemik, maka PN akan dilihat sebagai pengurus kitaran lama, bukan pembawa pembaharuan.

Politik elitis: Musuh senyap kerajaan rakyat

Politik elitis berkembang apabila kuasa terlalu lama berlegar dalam kelompok yang sama. Ia melahirkan:

a. Jurang antara pemimpin dan rakyat,
b. Bahasa politik yang terpisah daripada realiti, dan
c. Dasar yang tidak menyentuh penderitaan sebenar masyarakat.

PAS sejak awal memahami bahawa kekuatan politik Islam terletak pada sokongan rakyat akar umbi, bukan kelicikan elit. Oleh itu, konsep kerajaan rakyat mestilah menolak politik elitis dan mengangkat politik khidmat serta amanah.

Pengabaian institusi: Punca hilang kepercayaan

Salah satu kesan paling merosakkan pentadbiran one-centric ialah pelemahan institusi negara.

Parlimen yang lemah melahirkan undang-undang tergesa-gesa dan kurang semak imbang. Kehakiman yang dipersepsikan tidak bebas merosakkan keyakinan terhadap keadilan. Agensi penguatkuasaan yang selektif mengundang kepada sinisme rakyat.

Kerajaan rakyat tidak boleh dibina di atas institusi yang diperalatkan. Ia mesti dibina melalui institusi yang kuat, bebas dan dihormati, walaupun keputusan yang lahir daripadanya tidak selalu menguntungkan pemerintah.

Kerajaan rakyat: Apa yang perlu berubah?

Konsep kerajaan rakyat yang wajar ditawarkan oleh PN perlu berasaskan beberapa perubahan asas:

a. Kuasa kolektif, bukan individu.

Keputusan besar negara mesti lahir melalui perbincangan kolektif Kabinet dan Parlimen, bukan arahan tertutup elit tertentu.

b. Parlimen dimartabatkan.

Ahli Parlimen perlu diberi ruang membahas, mengkritik dan menggubal dasar secara bermakna, tanpa takut tekanan politik.

c. Institusi bebas sebagai amanah.

Kehakiman, suruhanjaya, audit dan agensi penguatkuasaan mesti dilindungi daripada pengaruh politik atau elitis.

d. Rakyat sebagai rakan tadbir.

Libat urus awam, desentralisasi kuasa dan keterbukaan maklumat perlu menjadi amalan tetap.

e. Akhlak Berkuasa sebagai Teras.

PAS khususnya mesti memastikan politik PN tidak terpisah daripada nilai amanah, keadilan dan tanggungjawab di hadapan Allah serta penghakiman pasca kehidupan.

Kesimpulan: Cadangan atau keberanian?

‘Kerajaan rakyat’ tidak akan wujud dengan menukar istilah, tetapi menuntut keberanian mengubah budaya kuasa. Selepas lebih 60 tahun BN dan kegagalan PH memutuskan kitaran lama, Perikatan Nasional berada di saat penentuan.

Jika PN benar-benar ingin dikenang sebagai pembina masa depan, bukan sekadar pengganti pemerintah, maka Kerajaan Rakyat mesti diterjemahkan melalui penghujungan politik elitis, penamatan one-centric government, dan pemulihan maruah institusi serta rakyat.

Di sinilah ujian sebenar PN, sama ada berani memihak kepada rakyat, atau terus selesa dengan mewarisi wajah dan kuasa lama.

TS DR MOHD SUFFIAN HAJI YUSOFF
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
ADUN Bandar Baharu
Fellow Yayasan Strategik Lestari
Fellow Yayasan Kedah Sejahtera – HARAKAHDAILY 6/1/2026

- Advertisement -