
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) bersama Siswa PAS hari ini tampil menyerahkan memorandum bantahan di Pejabat DAP, mendesak permohonan maaf terbuka susulan tindakan biadab Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong.
Memorandum tersebut diserahkan sebagai respon tegas terhadap tindakan Woo yang memuat naik poster berunsur penghinaan terhadap Mursyidul Am PAS yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar, berkata perbuatan tersebut adalah satu bentuk politik lapuk yang tidak bertamadun serta mencerminkan kegagalan kepimpinan muda DAP dalam mengamalkan nilai moral yang tinggi.
“Kami datang dengan satu mesej yang jelas. Politik Malaysia mesti dibina di atas dasar akhlak, hujah, adab, dan tanggungjawab, bukan penghinaan dan provokasi murahan.
“Tindakan Ketua Pemuda DAP mengeluarkan poster menghina ulama yang sedang sakit bukan sahaja mencemar maruah, malah cuba menormalisasi budaya politik jijik, khususnya ketika negara sedang berdepan suasana PRN Sabah,” katanya selepas penyerahan memorandum tersebut, hari ini.
Menurut Mohamed Sukri, tindakan tidak beradab itu memberikan isyarat salah kepada generasi muda bahawa penghinaan adalah satu norma dalam politik, sedangkan ia jelas bertentangan dengan prinsip ketamadunan Malaysia.
“Kini, semakin muak dengan politik provokatif sebegini dan mendambakan politik penyelesaian yang matang.
“Tindakan ini hanya melebarkan defisit kepercayaan rakyat terhadap ahli politik. Sepatutnya pemimpin muda membawa politik penyatuan, bukan permusuhan,” jelasnya..
Dalam memorandum tersebut, Pemuda PAS Selangor turut menekankan prinsip Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang menjadi pegangan PAS.
Mohamed Sukri menegaskan bahawa BPMS mengangkat politik hujah dan penyelesaian, serta menolak sebarang bentuk fitnah dan penghinaan.
“Ketua Pemuda DAP jelas gagal mempamerkan nilai ini. Pemuda DAP perlu bermuhasabah dan membina budaya politik yang lebih sejahtera.
“Jika perlu, Pemuda PAS bersedia untuk memberi penerangan mengenai konsep BPMS demi mendidik pesaing politik menjadi lebih beradab,” ujarnya.
Sehubungan itu, ujar beliau, Pemuda PAS Selangor menggariskan tuntutan mendesak agar Woo Kah Leong memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kandungan penghinaan tersebut dengan serta-merta.
Sementara rujukan di laman facebook mendapati, Ketua Pemuda DAP itu masih belum menurunkan poster berkenaan yang dimuat naik di media sosial beliau sejak 16 November lalu.
Mohamed Sukri berkata, Pemuda PAS Selangor tegas menolak politik jijik.
“Kami komited mengangkat politik adab, hujah, dan penyelesaian demi masa depan Malaysia yang lebih bermaruah.
“Semua pemimpin muda digesa menolak politik tidak bertamadun sebegini dan kembali fokus kepada politik dasar yang membela nasib rakyat,” katanya.
Menurutnya lagi, memorandum tersebut turut menuntut agar etika politik diperkukuh dalam semua platform media sosial parti politik bagi mengelakkan kejadian serupa berulang. – HARAKAHDAILY 21/11/2025











