
KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menyeru pengundi di DUN Karambunai dan seluruh negeri agar menolak politik wang yang disifatkan sebagai ancaman terbesar kepada pembangunan jangka panjang Sabah.
Beliau berkata, berdasarkan pengalaman setiap kali menjelang hari pengundian, akan berlaku kegiatan membeli undi pada saat-saat akhir untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya.
“Saya tahu dan semua orang mengetahui, akhir-akhir nanti, dua tiga hari sebelum hari pengundian akan ada pembelian pengundi.
“Saya harap untuk kali ini, sebab kita di Sabah ini asyik-asyik menimbulkan soal jalan raya, elektrik dan air, tiga serangkailah kita kata.
“Tapi nanti parti yang ada duit biarpun ahli politik itu tidak bekerja kerana duit yang kita dibayar 100, 200, 300 ringgit, kita rela yang disebut ‘manis-manis’ dalam konteks di Sabah ini.
“Jadi ‘manis-manis’ sebenarnya akan menjadi pahit dalam tempoh lima tahun,” katanya ketika ditemui media semasa Program Tinjauan Mesra di Lot Kedai Taman Indah Permai, di sini, semalam. (foto atas)
Bekas pensyarah Universiti Malaysia Sabah itu menegaskan, walaupun terdapat parti yang mempunyai sumber kewangan besar sehingga mampu membeli sokongan pengundi, tindakan itu akan memerangkap rakyat dalam penderitaan jangka panjang.
Jelas beliau juga, serangan politik wang bukan kerana rakyat tidak bijak berfikir, tetapi kerana wujud usaha berterusan pihak tertentu memanipulasi situasi dengan tawaran segera yang mengaburi pertimbangan pengundi.
“Saya harap biarlah parti politik khususnya bawa agenda perjuangan, polisi dan sebagainya.
“Rakyat juga menilai berdasarkan karakter, ketokohan, bekerja, orang yang berkempen tu, jangan terpengaruh dengan duit ataupun di Sabah panggil agung,” tambah bekas ADUN Lantikan pada penggal lepas itu lagi.
Pada Pilihan Raya Negeri kali in, beliau berdepan saingan 11 penjuru di DUN Karambunai yang mempunyai 39,247 pengundi berdaftar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 21/11/2025




















