
KUALA LUMPUR: “Sekiranya Umno masih bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, berkemungkinan besar ia perlu banyak mengalah, menyerahkan kerusi-kerusi tradisionalnya dan berpuas hati dengan bilangan yang nanti ditentukan oleh PH yang lebih dominan.”
Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, lantas mustahil Umno boleh kembali sebagaimana di zaman bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana kuota kerusinya akan dirampas oleh kawan-kawan yang memberi nyawa kepadanya.
“Saya yakin dalam keadaan sebegini akar umbi Umno pasti akan lebih cenderung menjalin kerjasama lain dan meninggalkan PH yang hanya akan mengecilkan pengaruh Umno.
“Umno perlu cermat dan bijak jika benar mahu kekal relevan. Dalam keadaan ini, tumpuan dan keutamaan perlu diberikan pada satu-satu jalan yang ada iaitu merintis jalan ke arah politik Permuafakatan Ummah.
“Bergabunglah dan bekerjasamalah sesama parti Melayu Islam untuk kita kembalikan maruah agama dan bangsa.
“Jika terus berbalah sesama sendiri, mementingkan agenda peribadi mengatasi kepentingan dan survival ummah maka kesudahannya Umno akan ‘ditelan’ kawan-kawannya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 berakhir dengan tiada panduan jelas apakah akan terus bekerjasama dengan PH yang didominasi DAP untuk menghadapi PRU 16 nanti atau apakah akan bergerak solo bertanding sendirian di ke semua kerusi atau mungkinkah menjalin kerjasama dengan pihak lain.
Menurut beliau, sesetengah pihak melihat kemenangan besar Umno di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan baru-baru ini sudah cukup membuktikan kemampuan untuk ia bangkit kembali berkuasa seperti dahulu.
“Umno menang di Nenggiri dengan bantuan minimal PH apatah lagi DAP, justeru status seumpama itu perlu dikekalkan, Umno perlu tegak sendiri untuk mampu bangkit kembali.
“Tetapi sebahagian besar pimpinan tertinggi Umno masih tidak yakin Umno akan mampu berdiri sendiri. Belum masanya. Umno pun tidak mampu memutuskan ikatan dan kebergantungannya pada PH.
“Ini kerana lantaran ihsan PH lah mereka mampu berteduh bawah payung Kerajaan Persekutuan dan Presidennya dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, beberapa yang lain menjadi Menteri dan Timbalan Menteri walaupun BN cuma menyumbang 30 kerusi,” jelas beliau.
Justeru, beliau berkata, perlu disedari Umno, sekiranya untuk kembali berkuasa seperti dahulu, jika PRU 2004 dijadikan penanda aras, mereka perlu memenangi 109 kerusi sedangkan hari ini ia cuma ada 26 kerusi dalam tangan.
“Ini bermakna Umno perlu menang 83 kerusi lagi. Terbukti jika kita berpijak di bumi nyata, suasana politik hari ini sudah jauh berbeza berbanding 20 tahun lalu.
“Presiden Umno sendiri dalam PAU 2024 mengajak perwakilannya menerima realiti politik semasa bahawa tiada satu parti atau gabungan menguasai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Kedudukan ini kata beliau menurut kajian mungkin tidak akan banyak berbeza dalam PRU 16 nanti.
“Maka, Justeru sebenarnya Umno masih belum tahu nasib dan masa depannya walaupun tanda-tanda menunjukkan Presidennya mahu terus kekal bersama PH, bermakna Umno tidak mungkin kembali sebagaimana dahulu.
“Janganlah harap Umno boleh kembali mendominasi Kerajaan sebagaimana di waktu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebelum kalah dalam PRU-14,” katanya.
Sehubungan itu, Roslan berkata, sekiranya Umno menerima idea Presidennya, iaitu kekal bekerjasama dengan PH, Umno bahagian dan cawangan-cawangan bersedialah melepaskan selonggok besar kerusi untuk ditandingi kawan-kawannya dalam PH.
Ini kerana jelas beliau, di beberapa kerusi tradisional Umno dahulu, hari ini sudah menjadi milik PH contohnya Kuala Selangor (PAN), Balik Pulau (PKR), Gombak (PKR), Lembah Pantai (PKR),Setiawangsa (PKR), Alor Gajah (PAN), Hang Tuah Jaya (PKR), Pulai (PAN), Sri Gading (PAN), Ledang (PKR) dan banyak lagi.
“Justeru, Umno akan terpaksa memberi tumpuan pada kerusi-kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN). Tetapi itu pun belum tentu akan PH berikan secara percuma untuk ditandingi Umno kerana dari sudut kekuatan, kebanyakan kerusi-kerusi PN ini undi kedua terbesar dimiliki calon PH.
“Contohnya Kuala Kedah (PAS), calon BN dapat 13,879 undi sedangkan calon PKR 28,237; Pokok Sena (PAS) calon BN 14,523 undi sedangkan calon PAN 20,524 undi; Permatang Pauh (PAS) calon BN 16,971 sedangkan calon PKR 32,336;
“Parit Buntar (PAS) calon BN 11,593 undi sedangkan calon PAN 17,828 undi; Temerloh (PAS) calon BN 25,191 undi sedangkan calon PAN 25,409 undi; Kuantan (PAS) calon BN 19,114 sedangkan calon PKR 22,648 undi; Pagoh (Bersatu) calon BN 14,426 sedangkan calon PKR 14,979 undi, dan banyak lagi.
“PH akan mendakwa bahawa mereka lebih berhak bertanding di kerusi-kerusi ini, mampukah Umno menentangnya,” soal beliau.
Sehubungan itu, Roslan berharap rakan-rakan dalam Umno yang matang serta berpandangan jauh akan merampas dayung dan mengemudi kembali perahu Umno ke destinasi sebenar iaitu ke arah memartabatkan maruah agama begitu juga bangsa.
“Tuntutan menobatkan kekuatan politik ummah ini bukan tanggungjawab PAS, BERSATU atau Umno sahaja, tetapi ia tanggungjawab kita semua. Bersatu kita teguh bercerai kita merobohkan kegemilangan kekuatan kita sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/8/2024




















