
JOHOR BAHRU: Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed memaklumkan bahawa PAS Johor telah membincangkan hala tuju serta penyusunan semula organisasi negeri bagi sesi 2025- 2027.
Beliau berkata, mesyuarat tersebut turut menumpukan kepada pembentukan barisan kepimpinan baharu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bagi memperkukuh agenda tarbiyah, dakwah dan siasah sebagai teras perjuangan parti.
“PAS Johor akan terus memperkukuh agenda perjuangan berasaskan prinsip Islam yang syumul, dengan menekankan keseimbangan antara pembangunan rohani dan kemajuan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, PAS Johor menegaskan komitmen berterusan terhadap usaha penyatuan ummah dan kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Penyatuan ummah, khususnya antara umat Islam dan Melayu, merupakan nadi kepada kekuatan dan kestabilan negara serta negeri, di bawah naungan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Pemangku Sultan Johor,” katanya.
Tambah beliau, PAS Johor turut menegaskan pendirian untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN) namun menyokong sebarang usaha ke arah penyatuan ummah sebagaimana kerjasama rentas parti dalam Muafakat Nasional sebelum ini.
Beliau turut menyeru pembentukan konsensus nasional yang lebih luas, merentasi kaum dan parti, bagi menjamin kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, Datuk Dr Mahfodz berkata, PAS Johor menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menentang kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN.
“Perjuangan membela Palestin kekal menjadi keutamaan kerana ia bukan sekadar isu kemanusiaan, tetapi isu aqidah dan maruah umat Islam. PAS Johor akan terus bersama dalam usaha membebaskan al-Quds dan menentang kezaliman Zionis,” tegasnya.
Selain itu, PAS Johor turut menzahirkan sokongan penuh kepada semua calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan berjanji membantu sebaik mungkin bagi memastikan kemenangan calon PN.
Pada masa sama, PAS Johor memberi tumpuan kepada pengukuhan jentera parti bagi menghadapi PRU16 dengan menekankan aspek disiplin, strategi dan penyelarasan di semua peringkat bagi memastikan kesiapsiagaan yang menyeluruh.
Beliau turut menjelaskan bahawa PAS Johor mengambil kira aspek hubungan dan kerjasama antara negeri Johor dan negara Singapura sebagai agenda penting, khususnya dalam perkara yang melibatkan kepentingan serta manfaat kepada rakyat negeri itu.
Datuk Dr Mahfodz menegaskan komitmen PAS Johor untuk terus memperjuangkan agenda pembelaan rakyat sambil memberi tumpuan kepada pembangunan negeri yang seimbang dan inklusif.
“PAS Johor akan terus memainkan peranan sebagai pengimbang dalam memastikan dasar pembangunan serta capaian ekonomi negeri tidak mengabaikan keperluan umat Islam dan golongan berpendapatan rendah (B40), selaras dengan prinsip keadilan dan kesejahteraan untuk semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/10/2025



















