Pelbagai reaksi terhadap isu perpaduan Melayu

Roslan Shahir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu perpaduan Melayu dan Islam sentiasa menerima reaksi berbeza daripada pelbagai pihak, termasuk sokongan dan penentangan, bergantung kepada kepentingan politik masing-masing.

- Advertisement -

Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, pihak yang menyokong perpaduan Melayu-Islam berhasrat melihat penyatuan itu mampu memperkukuhkan kekuatan politik bagi membela dan mempertahankan masa depan agama, bangsa dan negara.

Sebaliknya, beliau berkata pihak yang menentang perpaduan itu berbuat demikian kerana kedudukan dan kepentingan mereka terancam.

“DAP tentang kerana kekuatan politik mereka hari ini akan mengecil. Yang lain kerana pangkat dan kuasa,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Roslan turut menyentuh peranan media yang menurutnya semakin cenderung kepada kecenderungan politik tertentu.

“Pihak media yang bebas kita hormati, namun dewasa ini kebanyakannya sudah condong dan cenderung ke pihak tertentu, mengikut tuan politik masing-masing,” jelasnya.

Beliau membandingkan situasi itu dengan landskap media di Amerika Syarikat yang menurutnya jelas berbeza mengikut arus politik, seperti CNN dan Fox News.

Mengulas laporan muka hadapan New Straits Times (NST), Roslan berkata tajuk yang digunakan berkaitan kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, tidak menggambarkan keadaan sebenar.

“Tajuk muka depan NST hari ini berkaitan dengan apa yang saya ulas. Kononnya tuntutan berapi Dr Akmal, KP Umno diterima dingin,” katanya.

Menurut beliau, laporan itu memetik kenyataan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno merangkap Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang menyatakan sebarang keputusan untuk meninggalkan Kerajaan ‘Perpaduan’ perlu diputuskan melalui saluran tertinggi Umno iaitu MKT.

Bagaimanapun, Roslan berkata beliau tidak melihat kenyataan Zambry itu sebagai menolak atau memberi reaksi dingin terhadap pandangan Dr Akmal seperti yang digambarkan dalam tajuk laporan berkenaan.

Beliau berkata Konvensyen Khas Pemuda Umno sebelum ini memang mengambil ketetapan untuk menyerahkan perkara itu kepada MKT Umno, selaras dengan penegasan berulang kali dibuat oleh Dr Akmal sendiri.

“Apa yang NST gelabah sangat sehingga cuba ‘gagalkan’ suara akar umbi Umno itu? Ada kepentingan ya?” katanya. – HARAKAHDAILY 6/1/2026

- Advertisement -