
KOTA BHARU: Penyatuan Ummah terbukti menjadi jaminan kepada keharmonian kaum berdasarkan pengalaman pentadbiran di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang memperlihat hubungan baik antara masyarakat Melayu dengan bukan Islam.
Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Abdul Fattah Abu Mursie berkata, pihak yang mempertikaikan usaha Penyatuan Ummah disaran datang ke Kelantan atau bertanya kepada masyarakat Cina di negeri itu bagi mengetahui keadaan sebenar.
Beliau berkata, pengalaman pentadbiran di Kelantan membuktikan penyatuan politik orang Melayu bukan sahaja tidak menjejaskan masyarakat bukan Islam, malah mewujudkan suasana aman sehingga hubungan antara kaum terus diperkukuhkan.
Menurutnya, masyarakat bukan Islam tidak perlu berasa bimbang terhadap usaha penyatuan parti-parti Melayu kerana pengalaman di Kelantan, Terengganu dan Kedah menunjukkan hubungan antara kaum kekal harmoni.
Beliau turut mengajak mana-mana pihak datang sendiri ke negeri-negeri terbabit bagi mendapatkan pandangan masyarakat Tionghua mengenai hubungan mereka dengan masyarakat Melayu.
“Jangan sesekali Penyatuan Ummah dilihat sebagai sesuatu yang negatif kerana bukti yang ada jelas menunjukkan ia membawa manfaat kepada semua pihak termasuk masyarakat bukan Islam di mana hak mereka turut dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Kita amat berharap perpaduan ummah ini juga tidak dijadikan bahan untuk menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan yang sedang berlangsung,” katanya kepada Harakahdaily .
Abdul Fattah yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Negeri Kelantan berkata, sejarah tamadun Islam membuktikan agenda penyatuan bukan sesuatu yang asing, sebaliknya menjadi asas kepada pembinaan sebuah masyarakat aman dan sejahtera.
“Rasulullah SAW berjaya menyatukan dua kabilah yang sekian lama bermusuhan iaitu Aus dan Khazraj di Yathrib sehingga permusuhan yang berlarutan puluhan tahun dapat ditamatkan.
“Keamanan hasil penyatuan itu turut dinikmati masyarakat Yahudi yang mendiami Yathrib ketika itu.
“Apabila golongan Muhajirin berhijrah dari Makkah ke Madinah, Rasulullah SAW sekali lagi menyatukan mereka dengan golongan Ansar yang merupakan penduduk asal Madinah.
“Hasil daripada penyatuan tersebut, bukan sahaja umat Islam hidup dalam suasana aman, malah masyarakat bukan Islam turut menikmati keamanan dan kestabilan yang diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman politik di Malaysia turut membuktikan kejayaan konsep ini apabila Allahyarham Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat menggagaskan kerjasama politik antara PAS dan Parti Melayu Semangat 46 pada 1990 menerusi Angkatan Perpaduan Ummah (APU).
“Kerjasama itu berjaya menyatukan parti-parti Melayu Islam sehingga membolehkan Kelantan ditadbir secara berterusan selama 36 tahun.
“Masyarakat bukan Islam turut menikmati keamanan dan keharmonian hasil daripada penyatuan politik tersebut.
“Justeru, Penyatuan Ummah tidak wajar ditakut-takutkan atau digambarkan sebagai ancaman kepada masyarakat bukan Islam kerana pengalaman yang berlaku di Kelantan, Terengganu dan Kedah membuktikan sebaliknya.
“Penyatuan Ummah merupakan pendekatan yang mampu memperkukuhkan kestabilan politik, memelihara perpaduan masyarakat serta menjamin keharmonian antara kaum di negara ini,” katanya.
-HARAKAHDAILY 30/7/2026




















