Agrovalley Rong Chenok anjur jualan ladang

- Advertisement -

PASIR MAS: Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) akan menganjurkan program Jualan Ladang di Agrovalley Rong Chenok pada 1 Ogos ini bagi memperkenalkan pusat agropelancongan berkenaan kepada orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail berkata, program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 3 petang itu menghimpunkan pelbagai hasil tanaman dan ternakan keluaran PKPNK yang dijual terus kepada pengguna pada harga ladang.

- Advertisement -

Katanya, antara produk yang ditawarkan ialah salad hidroponik, sawi, cili kulai, Malon Madu Kelantan, buah tin, benih pokok tin, ayam segar, ikan tilapia, ikan keli serta benih ikan tilapia.

“Malon Madu Kelantan bersaiz premium dijual pada harga RM13 sekilogram, manakala saiz biasa RM10 sekilogram.

“Salad hidroponik pula dijual pada harga RM4 sekilogram, sawi RM2 bagi setiap 250 gram, cili RM8 sekilogram, ayam segar RM7 sekilogram dan ikan tilapia RM8 sekilogram,” katanya.

Beliau berkata, tanaman salad dan sawi di Agrovalley Rong Chenok diusahakan menggunakan sistem hidroponik yang selamat bagi memastikan hasil berkualiti kepada pengguna.

Menurutnya, benih ikan tilapia bersaiz tiga inci dijual pada harga 35 sen seekor, manakala saiz empat inci pada harga 40 sen seekor.

Tambahnya, pengunjung turut berpeluang memetik sendiri Malon Madu Kelantan yang ditanam dalam 2,400 polibeg di tiga rumah hijau.

“Pengunjung juga boleh melihat pelbagai tanaman lain yang diusahakan di sekitar Agrovalley Rong Chenok sebagai sebahagian daripada tarikan agropelancongan di kawasan ini,” ujarnya.

Beliau berkata, program itu turut disertai dua usahawan RISDA yang memasarkan pelbagai produk pertanian selain dua usahawan tempatan penjual makanan, minuman dan buah buahan.

Ujarnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga akan mengadakan jualan daging rusa dan daging lembu segar sempena operasi ladang rusa di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kawasan Agrovalley Rong Chenok seluas kira-kira 600 ekar akan dibangunkan secara berperingkat sebagai hab pertanian dan agropelancongan yang lebih komprehensif.

Menurutnya, pembangunan itu melibatkan 350 ekar tanah milik PKPNK dan 250 ekar di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang kini menempatkan lebih 400 ekor rusa.

“Antara projek yang sedang dan akan dilaksanakan ialah tanaman jagung bijian seluas lebih 30 ekar, kawasan tanaman bunga berasaskan spesies nanas, penternakan lembu hibrid kacukan Charolais dan lembu Kelantan Kedah, selain memperkukuh pusat ternakan rusa sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, pelan induk pembangunan Agrovalley Rong Chenok kini sedang disediakan Unit Perancang Ekonomi Negeri bersama PlanMalaysia.

Katanya, pelan tersebut merangkumi pembinaan jalan masuk, dewan terbuka serta pelbagai kemudahan lain bagi menyokong pembangunan kawasan itu sebagai destinasi agropelancongan dan hab pertanian moden di Kelantan.

-HARAKAHDAILY 29/7/2026

- Advertisement -