
KOTA BHARU: “Sesiapa sahaja boleh membeli atau memiliki tanah di Kelantan asalkan memenuhi kaedah dan syarat-syaratnya.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Kelantan adalah salah satu negeri yang paling ketat syarat pemilikan tanah demi menjaga hak pemilikan tanah orang Melayu.
“Untuk makluman, Kelantan adalah negeri yang mempunyai Tanah Rezab Melayu paling tinggi seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini susulan timbul fitnah kononnya kerajaan negeri itu telah memberikan tanah dalam jumlah beribu ekar kepada seorang taukeh Cina.
“(Ini) Fitnah lama. Ada pulak yang tayang semula. Saya diminta menjelaskannya.

“Baru semalam dalam mesyuarat Exco, kita dimaklumkan tentang perkembangan tindakan undang-undang kerajaan negeri terhadap beberapa orang yang memfitnah kerajaan negeri kononnya bagi tanah beribu ekar kepada taukeh Cina,” katanya.
Menurutnya, beliau telah menghubungi Pengarah Tanah dan Galian (PTG).
“Mengikut rekod di PTG Kelantan, Tay Kian Chuan (taukeh Cina yang dimaksudkan) ini memiliki lebih kurang 62 ekar tanah di Kelantan dan bukan 62,000 ekar seperti yang cuba digambarkan (dalam fitnah itu).
“Itupun tanah yang dia beli dari pemilik Cina lain sebelumnya. Bukan tanah yang diberi milik atau dianugerahkan oleh kerajaan negeri Kelantan sebagaimana yang dituduh,” jelasnya.
“Siapa pun anda (pemfitnah) sekurang-kurangnya biarlah anda mempunyai harga dan maruah diri, tahu dosa dan pahala,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2024




















