
SEREMBAN: Umat Islam diseru memperkukuh perpaduan di samping mengelakkan perpecahan, kerana hanya melalui kesatuan yang berasaskan ilmu serta kefahaman agama, kekuatan ummah mampu dibina.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, Rasulullah SAW sendiri mengibaratkan hubungan sesama mukmin seperti sebuah binaan yang saling menguatkan antara satu sama lain.
Katanya, perpaduan merupakan asas penting bagi memastikan umat Islam terus kuat dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa termasuk ancaman dalaman dan luaran.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah isu semasa sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Bilik Gerakan Umno Cawangan Chempaka, UDM Taman Satria, di sini malam kelmarin.
Nassuruddin menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya membuat pilihan yang mampu memperkukuh kesatuan umat Islam dan kestabilan negara pada PRN akan datang.
“Pengundi perlu memberikan sokongan kepada calon-calon PERIKATAN NASIONAL (PN) atau Barisan Nasional (BN) yang mengutamakan penyatuan umat Islam dan kestabilan negara, demi kesejahteraan ummah,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan supaya rakyat tidak lagi memberikan sokongan kepada calon yang mewakili parti yang boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
“Kita orang Islam kena memahami hakikat ini. Insya-Allah, kalau orang Islam benar-benar faham dengan ilmu, perpaduan sudah tentu akan wujud sesama kita.
“Sebab itu ilmu sangat penting. Apabila kita ada ilmu, orang tidak boleh membeli kita, tidak boleh mempengaruhi kita dan tidak boleh menyogok kita dengan kemewahan,” katanya.
Nassuruddin turut mengupas ungkapan yang menjelaskan bahawa yatim sebenar bukan sekadar kehilangan ibu atau bapa, sebaliknya mereka yang kehilangan ilmu dan adab.
Menurutnya, seseorang yang memiliki ilmu mampu memberi manfaat kepada masyarakat walaupun dibesarkan sebagai anak yatim.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan itu berkata, umat Islam perlu mengenepikan perbezaan yang boleh melemahkan kekuatan mereka.
Katanya, orang Islam sewajarnya kembali bersatu dan bekerjasama demi mempertahankan agama serta membina masa depan yang lebih baik.
“Kita kena pakat bersungguh-sungguh. Insya-Allah, apabila kita bersatu, kita mampu mencapai kemenangan dan membina kekuatan di Semenanjung.
“Orang Islam sepatutnya kembali berpakat dan mengutamakan perpaduan, bukannya terus berpecah-belah,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya bekerja keras memperkukuhkan kesatuan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Katanya, perpaduan yang dibina atas asas ilmu, adab dan kefahaman Islam merupakan kunci kepada kejayaan umat pada masa depan.
– HARAKAHDAILY 29/7/2026




















