Calon PN Bagan Pinang disifatkan majikan prihatin

Sentiasa utamakan kebajikan murid dan guru

- Advertisement -

PORT DICKSON: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi kerusi DUN N.31 Bagan Pinang, Ustaz Abdul Fatah Zakaria disifatkan sebagai seorang pemimpin yang amat mengambil berat soal kebajikan murid dan tenaga pengajar sepanjang menguruskan PASTI Al-Mu’min.

Guru Kanan PASTI Al-Mu’min, Siti Salina Samaun, 46, berkata, sifat penyayang dan keprihatinan Abdul Fatah yang lebih dikenali sebagai Ustaz Fatah terhadap kanak-kanak menjadi antara faktor membuatkan beliau dihormati dalam kalangan guru serta ibu bapa.

- Advertisement -

Menurutnya, Ustaz Fatah tidak pernah berkompromi dalam perkara yang melibatkan keselamatan dan kebajikan murid.

“Jika ada murid yang sakit atau mengalami kecederaan, beliau akan segera datang membantu. Beliau memang sangat sayangkan kanak-kanak.

“Saya masih ingat satu kejadian apabila seorang murid terjatuh ketika berlari sehingga mengalami kecederaan serius di kepala, Ustaz dalam keadaan tak pakai kasut, dia berlari bawa murid itu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Lukut.

“Pelajar itu menerima tujuh jahitan di kepala. Jadi Ustaz ni dia memang tak boleh dengar anak murid sakit, anak murid luka, cikgu tak sihat, memang dia akan terus datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pengalaman berkhidmat di bawah pengurusan Abdul Fatah yang juga pengurus PASTI Al-Mu’min.

Siti Sallina yang telah berkhidmat selama 15 tahun di PASTI berkenaan berkata, Ustaz Fatah bukan sahaja memberi perhatian kepada murid, malah sentiasa memastikan kebajikan guru dan kakitangan terjaga.

Katanya, semua petugas diberikan kepercayaan untuk melaksanakan tugas masing-masing selain digalakkan meningkatkan tahap pendidikan dan kemahiran profesional.

“Kami di sini diberi kepercayaan penuh oleh Ustaz untuk menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan. Malah, urusan seperti pemanduan van sekolah juga dikendalikan sendiri oleh guru-guru wanita yang sanggup mengambil lesen PSV.

“Alhamdulillah, guru-guru di sini selain berkelulusan diploma, ada juga yang meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Saya sendiri kini sedang menyambung pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Malaya, manakala ijazah sarjana muda dan sarjana saya juga dalam bidang yang sama.

“Ilmu yang dipelajari ini bukan untuk diri sendiri semata-mata, sebaliknya akan saya manfaatkan dan kembalikan kepada institusi serta anak-anak yang dididik di sini,” ujarnya.

Menurut beliau, suasana kerja yang positif dan hubungan erat antara pengurusan serta tenaga pengajar menjadi antara faktor ramai guru kekal berkhidmat dalam tempoh lama.

“Walaupun ada yang melihat aspek pendapatan sebagai cabaran, kami merasakan penghargaan dan sokongan yang diberikan jauh lebih bermakna. Kebajikan guru sentiasa diberi perhatian dan itu menyebabkan ramai terus setia berkhidmat,” katanya.

Terdahulu, bagi Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16), DUN Bagan Pinang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Ustaz Fatah mewakili PN, Nasir Raman (Pakatan Harapan) dan Sheikh Junaidy Jamaludin (BERSATU).

Ustaz Fatah akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRN 2023 itu selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Najib Mohd Isa dengan majoriti 3,426 undi menerusi perolehan 10,921 undi.

Kerusi DUN Bagan Pinang yang diwujudkan pada 2004 sebelum ini dianggap antara kubu kuat BN, namun berjaya ditembusi PN pada pilihan raya lalu. – HARAKAHDAILY 28/7/2026

- Advertisement -