DAP usah terlalu yakin, Lobak bukan ‘deposit tetap’

- Advertisement -

SEREMBAN: DAP diingatkan agar tidak menganggap DUN N.11 Lobak sebagai kerusi yang boleh dimenangi dengan mudah hanya bersandarkan rekod kemenangan dalam beberapa pilihan raya lalu.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa kawasan itu bukan milik kekal mana-mana parti.

- Advertisement -

Menurut beliau, tanggapan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Lobak merupakan ‘deposit tetap’ DAP adalah tidak wajar kerana politik sentiasa berubah mengikut sentimen dan penilaian rakyat.

Jelasnya, sokongan rakyat bukanlah sesuatu yang boleh dianggap kekal selama-lamanya, sebaliknya bergantung kepada prestasi, khidmat serta kemampuan sesebuah parti memenuhi harapan pengundi.

“Politik tidak pernah statik. Sokongan rakyat juga bukan cek kosong yang boleh dianggap kekal selama-lamanya. Sejarah Lobak sendiri pernah membuktikannya. Pada pilihan raya 1999, DAP pernah tewas di DUN Lobak,” katanya.

Tambah Dr Najihah, kekalahan itu menjadi peringatan bahawa tiada kerusi yang menjadi hak mutlak mana-mana parti kerana keputusan pilihan raya boleh berubah apabila rakyat mengubah pendirian.

“Apabila sentimen rakyat berubah, apabila pengundi mula menilai prestasi dan apabila muncul pilihan yang mereka rasakan lebih baik, keputusan di peti undi juga boleh berubah.

“Sebab itu DAP tidak seharusnya terlalu yakin bahawa kerusi DUN Lobak akan terus menjadi ‘deposit tetap’ mereka,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 ini, beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Negeri Perak berkata, suasana politik yang berlaku telah jauh berbeza berbanding sebelum.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia itu berhujah, ini apabila pengundi semakin kritikal dalam membuat penilaian terhadap wakil rakyat dan parti yang bertanding.

Katanya, pengundi Lobak bukan sekadar melihat kepada lambang parti, malah berhak menilai sama ada sokongan diberikan selama ini benar-benar diterjemahkan kepada perubahan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau berkata, antara perkara yang wajar menjadi pertimbangan ialah sejauh mana isu perumahan, kebersihan, kesesakan lalu lintas, masalah parkir berjaya ditangani.

Lebih daripada itu kupasnya, adalah isu berkaitan peluang ekonomi kepada peniaga kecil dan kemudahan untuk warga emas serta pelbagai isu kehidupan bandar.

“Pilihan raya adalah masa untuk rakyat membuat penilaian semula. Kepada DAP, jangan pandang ringan pencabar dan jangan anggap sokongan rakyat sebagai sesuatu yang sudah pasti,” katanya.

Dr Najihatussalehah turut menegaskan bahawa sejarah politik menunjukkan tiada kerusi yang benar-benar selamat sekiranya rakyat merasakan perubahan perlu dilakukan.

“(Tahun) 1999 sudah membuktikan DAP boleh kalah di Lobak. Sejarah politik mengajar kita satu perkara, kerusi yang dianggap selamat hanya kekal selamat selagi rakyat masih mahu mempertahankannya.

“Kali ini, biarlah rakyat Lobak membuat penilaian berdasarkan khidmat, prestasi dan siapa yang benar-benar bersedia menjadi suara mereka.
Lobak bukan milik mana-mana parti. Lobak milik rakyat Lobak,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2026

- Advertisement -