Fasa baharu perang Republik Islam Iran – AS – negara haram Israel

- Advertisement -

MEDIA Barat kini melaporkan bahawa Amerika Syarikat (AS) telah membuka ruang sekali lagi untuk meneruskan agenda MoU yang dimeterai dengan Republik Islam Iran dan ingin menguatkuasakan kembali gencatan senjata setelah ianya dicabuli dalam serangan yang berlarutan selama 13 hari.

Dakwaan itu dikuatkan lagi apabila media-media utama Barat melaporkan bahawa ketika lawatan Perdana Menteri Iraq, Ali al-Zaidi ke Republik Islam Iran pada 23 Julai lalu menemui Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian, beliau didakwa telah menyerahkan pelan Amerika Syarikat untuk mengadakan gencatan senjata selama 10 hari dengan Republik Islam Iran.

Bagaimanapun Republik Islam Iran didakwa telah menolak rancangan gencatan senjata tersebut dan dengan tegas menyatakan bahawa ia tidak lagi terikat dengan MoU yang ditandatangani dengan Amerika Syarikat dan akan membalas setiap serangan Amerika Syarikat yang dihalakan ke atas Republik Islam Iran.

Akibatnya, berlaku kemusnahan yang lebih besar ke atas pangkalan tentera dan fasiliti ketenteraan Amerika Syarikat di Kuwait, Bahrain, Jordan dan di Erbil, wilayah Kurdistan, Iraq. Angka korban dan kecederaan di kalangan anggota tentera Amerika Syarikat terus meningkat walaupun angka sebenar dirahsiakan.

- Advertisement -

Lebih memburukkan lagi keadaan, kumpulan Ansarullah kini teleh menyertai peperangan dan telah mengenakan sekatan ke atas Arab Saudi dari menggunakan Bab Al-Mandab untuk mengeksport minyak mentahnya. Berikutan itu, tentera Arab Saudi telah melancarkan serangan ke atas Sana’a dan Hodeidah di Yaman, namun serangan balas Yaman telah menggemparkan Asia Barat.

Dua hari lalu, tentera Yaman (Ansarullah) telah melancarkan serangan peluru berpandu balistik dan dron ke atas fasiliti ARAMCO di Pusat Perindustrian dan Ekonomi Jizan di Arab Saudi dan dilaporkan berlakunya kemusnahan besar ke atasnya. Sehingga hari ini dilaporkan asap tebal masih berterusan menyelebungi fasiliti tersebut dan kebakaran masih lagi berlaku. Fasiliti ARAMCO di Jizan antara yang terbesar di Asia Barat memproses sekurang-kurangnya 400,000 tong minyak mentah sehari dan mampu menjana sekurang-kurangnya 3.8 gigawatt tenaga elektrik.

Perkembangan terkini yang berlaku menyebabkan harga minyak mentah dunia melonjak kembali ke paras melebihi USD100 setong walaupun ia turun sedikit setelah Amerika Syarikat mengumumkan ia telah menggantung serangan ke atas Republik Islam Iran.

Terbaharu, kumpulan pejuang pro-Iran di Iraq juga didakwa telah melancarkan serangan ke atas loji pemprosesan minyak dan gas ARAMCO di Abaqaiq, Arab Saudi. Tentunya serangan ini memberi lebih tekanan kepada negara-negara Teluk untuk memaksa Amerika Syarikat menggantung serangannya ke atas Republik Islam Iran.

Mengapa Amerika Syarikat menangguhkan serangan besar-besaran ke atas Republik Islam Iran?

Mengikut laporan, Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, Ketua Turus Angkatan Tentera Amerika Syarikat, Jeneral Dan Caine, Komander CENTCOM Admiral Brad Cooper dan pemimpin-pemimpin utama tentera Amerika Syarikat telah berjaya meyakinkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump agar tidak meneruskan rancangannya menyerang Republik Islam Iran dalam mesyuarat terbaharu di Rumah Putih pada Jumaat lalu.

Antara kebimbangan Amerika Syarikat ialah:

1.  Peningkatan besar keupayaan dan ketepatan serangan peluru berpandu balistik hipersonik Iran.

2.  Amerika Syarikat menuduh Rusia dan China membantu Republik Islam Iran dalam penentuan koordinasi satelit yang lebih tepat akan sasaran yang bakal diserang IRGC atau Tentera Iran.

3.  Pengurangan drastik bekalan peluru berpandu sistem pertahanan udara Patriot dan THAAD.

4.  Kemusnahan besar sistem radar, sistem pengesanan awal serangan, peralatan kenteraan dan pangkalan tentera serta fasiliti ketenteraan Amerika Syarikat.

5.  Sekatan (Naval Blockade) dan serangan udara yang dilancarkan ke atas Republik Islam Iran tidak berjaya melumpuhkan kekuatan ekonomi dan ketenteraan Republik Islam Iran.

6.  Selat Hormuz tidak berjaya ‘dibebaskan’ oleh tentera Amerika Syarikat daripada genggaman IRGC atau Tentera Iran.

Namun begitu, Republik Islam Iran dan sebahagian besar masyarakat dunia kini sudah tidak percaya lagi ‘putar belit’ Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Donald Trump. Apatah lagi kini Perdana Menteri negara haram Israel Benjamin Netanyahu dalam perjalanan ke Washington DC untuk menemui Donald Trump, segala-galanya boleh berubah.  Sekelip mata sahaja setelah menemui Benjamin Netanyahu, Donald Trump tiba-tiba sahaja boleh mengarahkan tentera Amerika Syarikat untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas Republik Islam Iran.

Donald Trump kini menghadapi dilema besar apatah lagi dalam menghadapi pilihan raya ‘mid term’ pada November ini. ‘Disapproval rating’ untuk Donald Trump telah melonjak kepada 56 peratus dan sebahagian besar daripadanya akibat perang dengan Republik Islam Iran. Dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, calon parti Republikan telah kalah teruk kepada calon parti Demokrat dengan kini sokongan kepada parti Demokrat kembali melonjak dengan angka yang agak besar antara 6 sehingga 11 peratus berbanding parti Republikan.

Natijahnya, apakah Benjamin Netanyahu mampu mengubah fikiran Donald Trump untuk kembali menyerang Republik Islam Iran walaupun dalam kekangan kekuatan ketenteraan? Atau adakah ini permulaan buat Amerika Syarikat untuk mengundurkan diri dari konflik di Asia Barat dan membiarkan negara haram Israel ‘berseorangan’ menghadapinya?

“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin”

DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
12 Safar 1448H / 28 Julai 2026 – HARAKAHDAILY 28/7/2026

- Advertisement -