Agenda kebajikan Kelantan dihebahkan di PRN N9

Hubungan pelbagai kaum harmoni di negeri Serambi Makkah

- Advertisement -

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Kelantan telah melaksanakan lebih 20 skim kebajikan bagi memastikan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

Setiausaha PAS Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, antara inisiatif utama ialah Skim Takaful Kifaalah yang menyediakan bantuan tunai RM1,000 kepada waris warga emas berusia 55 tahun ke atas yang meninggal dunia.

- Advertisement -

Beliau berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan Skim Al Ita’am yang menyalurkan bantuan beras seberat 10.8 kilogram secara percuma kepada 300 penduduk miskin di setiap kawasan DUN.

Menurutnya, kerajaan negeri juga menyediakan pelbagai skim kebajikan lain termasuk Skim Az Ziwaaj, Skim Armalah dan Cakna Aulad yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya sendiri sebelum datang ke sini dimaklumkan tiga orang rakyat di kawasan saya meninggal dunia dan semuanya layak menerima bantuan Skim Takaful Kifaalah sebanyak RM1,000.

“Bantuan sebegini bertujuan meringankan beban keluarga yang ditimpa musibah,” katanya ketika menyampaikan ceramah isu semasa sempena Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan di Bilik Gerakan Umno Cawangan Chempaka, UDM Taman Satria, di sini.

Beliau yang juga EXCO Kerajaan Negeri Kelantan menambah, bantuan kebajikan yang disalurkan kerajaan negeri tidak pernah membezakan kaum mahupun agama.

Katanya, masyarakat Siam, Cina, India dan kaum lain di Kelantan turut menerima manfaat daripada skim berkenaan dengan layanan yang sama seperti rakyat lain.

“Di kawasan saya, masyarakat Siam merupakan antara kelompok terbesar dan mereka juga menerima bantuan yang sama apabila berlaku kematian,” ujarnya.

Beliau berkata, keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Kelantan berjaya dipelihara di bawah pentadbiran kerajaan negeri sejak 36 tahun lalu.

Menurutnya, perpaduan yang kukuh menjadikan Kelantan sebagai simbol keharmonian antara kaum.

“Kita masuk ke wat Siam, kita jaga hubungan yang baik dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Walaupun Kelantan selalu disebut sebagai negeri miskin, namun kerana muafakatnya baik dan adabnya terjaga, kita dapat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera,” katanya.

Turut menyampaikan ceramah ialah Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan ADUN Pantai Irama, Huzaimy Che Husin serta Ketua Penerangan Kanan Umno DUN Paroi, Zulkifli Mohamed. – HARAKAHDAILY 28/7/2026

- Advertisement -