‘Anak muda aset pembangunan Paroi’ – Pak Kam

- Advertisement -

REMBAU: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25 Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd Zain atau Pak Kam mahu melihat golongan muda tampil memimpin serta menyumbang idea dalam pembangunan.

Beliau berkata, anak muda perlu dipersiapkan dengan kepimpinan yang berlandaskan agama, integriti dan semangat membantu masyarakat agar mampu menjadi peneraju masa depan Negeri Sembilan khususnya di DUN Paroi.

- Advertisement -

“Perkara utama yang mahu saya bawa untuk golongan muda adalah memberi ruang kepada mereka untuk memimpin pada masa akan datang berlandaskan agama, berintegriti dan membantu (semua) bangsa di Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut Pak Kam, golongan muda merupakan aset penting yang perlu diberi perhatian kerana mereka mempunyai tenaga, idea serta potensi besar untuk menjadi penggerak kepada pembangunan kawasan.

Katanya, pendekatan terhadap generasi ‘Gen Z’ perlu disesuaikan dengan perubahan corak pemikiran mereka yang lebih terbuka terhadap perkara baharu.

“Cabaran terbesar adalah untuk mendekati golongan Gen Z yang mempunyai pelbagai cara berfikir, inginkan perubahan dan mencuba perkara baharu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pendekatan lebih dekat dengan golongan muda perlu dilaksanakan supaya suara, pandangan dan aspirasi mereka dapat diterjemahkan dalam perancangan pembangunan Paroi.

Katanya, suara anak muda tidak boleh diketepikan kerana mereka merupakan golongan produktif yang mampu menjadi pemacu kepada kemajuan kawasan dan negeri.

Dalam pada itu, Pak Kam turut membawa lima tawaran utama menerusi gagasan ‘PAROI KITO JAGO’ sebagai komitmen meneruskan khidmat dan membina masa depan kawasan berkenaan.

Beliau berkata, gagasan itu dirangka dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu rakyat, peningkatan kemudahan, pengukuhan ekonomi serta pemerkasaan komuniti setempat.

Lima tawaran tersebut merangkumi; Prihatin menyelesaikan masalah rakyat (P), Akses kemudahan lebih baik (A), Rancakkan ekonomi rakyat (R), Organisasi komuniti diperkasa (O) dan Inisiatif masa depan (I).

Menurutnya, gagasan berkenaan membawa mesej bahawa Paroi bukan sekadar sebuah kawasan, tetapi amanah dan perjuangan yang perlu dipelihara demi kesejahteraan rakyat.

“Lima huruf. Satu kawasan. Satu amanah. Satu perjuangan. PAROI KITO JAGO!” seru nya.

Pak Kam berkata, rekod khidmat yang telah dilaksanakan sebelum ini menjadi asas untuk beliau meneruskan usaha membela rakyat Paroi, selain memastikan pembangunan kawasan itu memberi manfaat kepada generasi akan datang.

“Bukti khidmat. Janji diteruskan. Bukti sudah bermula, usaha akan diteruskan. Demi rakyat Paroi, demi masa depan generasi akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2026

- Advertisement -