Dr Sathia diminta perbetul kenyataan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Kelantan menggesa Dr Sathia Prakash Nadarajan membuat pembetulan secara terbuka sekiranya benar berlaku kesilapan ketika mengulangi petikan ucapan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sehingga mengubah maksud asal.

- Advertisement -

Ketuanya, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, pengakuan Dr Sathia, bahawa beliau tersilap menggunakan perkataan ‘balik’ menimbulkan persoalan mengenai ketepatan fakta yang dijadikan asas kepada dakwaan dibuat.

Beliau berkata, dalam undang-undang, ketepatan fakta merupakan asas utama terutama apabila sesuatu laporan polis dibuat berhubung dakwaan ucapan berunsur hasutan atau perkauman.

“Jika benar perkataan ‘balik’ tidak pernah disebut oleh Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengapa perkataan itu digunakan ketika membuat tuduhan kepada orang ramai.

“Perkataan tersebut membawa konotasi yang jauh lebih keras dan boleh mengubah persepsi masyarakat terhadap keseluruhan ucapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, alasan bahawa perkataan itu hanya membawa maksud tersirat juga wajar dipersoalkan kerana dalam prinsip keadilan, niat tersirat tidak boleh menggantikan kata-kata yang benar-benar diucapkan melainkan dibuktikan melalui keseluruhan konteks dan fakta.

Katanya, beban untuk membuktikan sesuatu dakwaan terletak kepada pihak yang membuat dakwaan dan seseorang tidak boleh dipersalahkan berdasarkan andaian atau tafsiran yang tidak selari dengan ucapan asal.

“Mana-mana siasatan perlu dibuat berdasarkan rakaman ucapan sebenar, bukan petikan yang telah diubah atau diringkaskan sehingga mengubah maksud asal.

“Jika benar berlaku kekhilafan dalam mengulang petikan ucapan, tindakan yang lebih bertanggungjawab ialah membuat pembetulan secara terbuka dan menarik balik bahagian kenyataan yang tidak tepat,” tegasnya.

Tegasnya, perkara itu penting bagi mengelakkan persepsi bahawa sesuatu tuduhan dibina atas fakta yang tidak lengkap.

Firdaus berkata, dalam negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, semua pihak berhak membuat laporan polis, namun hak tersebut datang bersama tanggungjawab untuk memastikan fakta dikemukakan adalah tepat, adil dan tidak mengelirukan.

Beliau turut berkata, perbahasan mengenai perpaduan kaum mesti berasaskan fakta sebenar, bukannya naratif yang dibentuk melalui petikan yang tidak tepat supaya keadilan dapat ditegakkan dan keyakinan rakyat terhadap sistem undang-undang terus dipelihara. – HARAKAHDAILY 29/7/2026

- Advertisement -