MB Kelantan santuni Setiausaha Umno Rembau

- Advertisement -

SEREMBAN: Politik Malaysia kini sedang melangkah ke lembaran baharu yang mengutamakan adab, silaturahim dan semangat penyatuan ummah demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Umno Bahagian Rembau, Dato’ Azman Hassan, dalam suasana santai, mesra dan penuh makna, di sini, semalam.
 
Turut hadir, calon PERIKATAN NASIONAL(PN) N.25 Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd Zain, Ketua Penerangan Umno DUN Paroi, Ustaz Zulkifli Muhamed serta Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Rembau.

- Advertisement -

Azman merupakan abang kepada Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Mohamad Hasan.
 
Nassuruddin berkata, sesetengah pertemuan tidak memerlukan pentas besar kerana ia cukup dengan salam yang ikhlas, senyuman yang tulus serta hati yang sedia menerima.
 
“Itulah indahnya Negeri Sembilan, sebuah negeri yang kaya dengan adat, luhur santun dan halus budi bahasanya,” katanya.
 
Menurutnya, di sebalik senyuman dan jabat tangan terjalin, terserlah adab, silaturahim serta keikhlasan, sekali gus membuka ruang yang kadangkala gagal dibuka oleh retorik politik.

Beliau berkata, perbezaan politik tidak semestinya membawa kepada permusuhan, sebaliknya boleh menjadi jambatan untuk membina masa depan yang lebih baik.
 
“Andai benih penyatuan ini terus disiram dengan keikhlasan dan dipelihara dengan kebijaksanaan, tidak mustahil Negeri Sembilan akan dikenang sebagai antara pelopor politik baharu.
 
“Politik yang mengangkat adab mengatasi amarah, menyuburkan ukhuwah mengatasi persengketaan serta meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara mengatasi segala-galanya,” katanya.
 
“Semoga daripada benih yang ditanam hari ini, lahirlah pohon penyatuan yang rendang buat generasi akan datang. Insya-Allah,” katanya.
 
– HARAKAHDAILY 29/7/2026

- Advertisement -