
KUALA LUMPUR: “Beras bukan sekadar komoditi perdagangan, tetapi makanan ruji rakyat Malaysia, asas kepada keselamatan makanan negara dan berkait rapat dengan kebajikan hampir 150,000 keluarga pesawah,” ujar Ahli Dewan Negara, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff.
Beliau menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan memperkukuhkan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, namun menegaskan pindaan itu perlu diteliti secara mendalam supaya benar-benar menyelesaikan masalah lama yang membelenggu industri padi dan beras negara.
Menurut beliau, jaminan makanan ialah tanggungjawab kerajaan yang baik, sebagaimana peringatan Allah SWT dalam Surah al-Quraisy ayat 4 mengenai Tuhan yang memberi penghidupan, menyelamatkan manusia daripada kelaparan serta mengamankan mereka daripada ketakutan.
Katanya, pengalaman negara ketika berdepan gangguan bekalan makanan akibat pandemik COVID-19, konflik geopolitik dan perubahan iklim membuktikan bahawa keselamatan makanan bukan lagi isu pertanian semata-mata, bahkan isu keselamatan nasional.
“Beberapa negara pengeksport beras turut mengehadkan eksport bagi melindungi bekalan domestik masing-masing,” jelas beliau ketika membahaskan Rang Undang-undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 di Dewan Negara, semalam.
Persoal keberkesanan hukuman
Wan Martina berkata, pindaan yang menaikkan kadar denda sehingga RM250,000 bagi individu dan RM1 juta bagi syarikat wajar disokong, tetapi kerajaan perlu menjawab sama ada hukuman lebih berat sahaja mampu menghapuskan kartel.
“Adakah selama ini masalah berlaku kerana hukuman terlalu rendah atau masalah sebenar ialah kelemahan dalam penguatkuasaan?” soalnya.
Beliau bimbang kartel dan ketirisan akan terus berlaku sekiranya hanya hukuman dipinda, sedangkan penguatkuasaan kekal lemah, sekali gus menyebabkan rakyat tidak menikmati manfaat pindaan tersebut.
Beliau turut meminta Menteri menjelaskan jumlah pendakwaan yang berjaya dilakukan di bawah akta sedia ada dalam tempoh lima tahun kebelakangan, termasuk perbandingan kes melibatkan kartel besar dengan peniaga kecil-kecilan.
Jika kebanyakan tindakan hanya dikenakan terhadap peruncit kecil sedangkan pemain industri lebih besar terlepas, katanya, maka pendekatan penguatkuasaan perlu dinilai semula.
Beliau mencadangkan sistem penalti berperingkat atau ‘tiered penalty framework’ supaya kesalahan kartel yang mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit tidak disamakan dengan kesilapan pentadbiran pesawah kecil atau peruncit kampung.
“Undang-undang yang baik mestilah adil, hukuman mestilah setimpal,” katanya.
Teknologi jejak beras dan data telus
Menyentuh isu pencampuran beras tempatan dan import, Dr Martina berkata perkara itu bukan sahaja menjejaskan pengguna, malah menindas pesawah tempatan.
Beliau mempersoalkan teknologi yang akan digunakan untuk membuktikan kesalahan tersebut di mahkamah, kecukupan makmal kementerian, serta latihan forensik kepada pegawai penguat kuasa dalam analisis beras.
“Tanpa bukti saintifik yang kukuh, kes boleh gagal dibuktikan di mahkamah walaupun hukuman telah dinaikkan,” tegas beliau.
Beliau turut mencadangkan Malaysia mencontohi Jepun yang mempunyai sistem kebolehkesanan beras, membolehkan setiap kampit dijejaki dari sawah, pengilang dan pemborong hingga ke rak pasar raya.
Singapura pula katanya, menggunakan sistem digital untuk memantau import dan stok makanan secara masa nyata, manakala Korea Selatan menggunakan kod QR serta pangkalan data bersepadu bagi mengawal rantaian bekalan makanan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan sistem kebolehkesanan beras nasional menggunakan kod QR dan teknologi digital, supaya setiap kampit beras mempunyai identiti yang boleh disemak pengguna serta penguat kuasa.
Beliau juga menggesa diwujudkan papan pemuka bekalan beras nasional bagi membolehkan stok negara, kilang, gudang dan beras import yang belum dipasarkan dipantau secara masa nyata, sekali gus menutup ruang manipulasi data.
Bela pesawah, kukuhkan sara diri
Wan Martina menegaskan reformasi tidak boleh hanya tertumpu kepada hukuman kerana pesawah berhadapan kenaikan harga baja, racun, mesin dan kos buruh, sedangkan pendapatan mereka masih rendah.
Beliau mahu kerajaan menjelaskan pelan meningkatkan pendapatan pesawah selepas pindaan itu, termasuk kemungkinan memperluaskan teknologi pintar, mekanisasi dan varieti padi lebih produktif.
Katanya, tindakan menghukum pihak hiliran tanpa memperkukuhkan sektor huluan tidak akan menyelesaikan masalah secara menyeluruh.
Beliau turut meminta sasaran baharu kadar sara diri (SSR) beras negara, pelan tindakan, garis masa dan indikator prestasi yang jelas memandangkan kebergantungan kepada import merupakan risiko strategik dalam dunia semakin tidak menentu.
Martina berharap penguatkuasaan dilaksanakan secara profesional, telus dan bebas daripada campur tangan supaya tindakan tidak hanya menimpa pihak kecil, sedangkan pemain besar terus kebal.
“Keberhasilan pindaan ini bukan bergantung kepada jumlah denda yang dinaikkan, tetapi sejauh mana kerajaan mampu mematahkan kartel, melindungi pesawah, menghapuskan penyelewengan, memastikan harga beras berpatutan dan menjamin bekalan makanan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2026











