Akta dipinda, tetapi nasib pesawah tetap tidak terbela

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Pindaan yang kita bahaskan pada hari ini tidak hanya dilihat dari sudut memperkukuhkan kuasa pengawalseliaan dan meningkatkan hukuman semata-mata, tetapi sama ada kerangka kawal selia ini benar-benar mampu menyelesaikan masalah di sepanjang rantaian industri padi dan beras.”

- Advertisement -

Ahli Dewan Negara, Senator Ustaz Musoddak Ahmad menegaskan, perbahasan mengenai padi dan beras tidak wajar disempitkan sebagai isu komoditi pertanian semata-mata kerana beras ialah makanan ruji rakyat, manakala sektor padi menjadi sumber pendapatan serta kelangsungan hidup ribuan pesawah.

Justeru katanya, sektor tersebut mempunyai kedudukan yang penting dalam agenda keterjaminan makanan negara.

Musoddak berkata, pesawah sejak sekian lama terus menyuarakan kegusaran yang sama dari satu musim ke satu musim, namun sebahagian masalah itu seolah-olah belum mempunyai penyelesaian benar-benar menyeluruh.

“Antaranya ialah peningkatan kos input pertanian, isu bekalan dan kualiti benih serta baja, serangan penyakit dan perosak, perubahan cuaca tidak menentu, selain risiko banjir dan kemarau,” ujarnya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 di Dewan Negara, semalam.

Dalam masa sama katanya, pesawah perlu menanggung persoalan harga padi dan sama ada pendapatan yang diterima benar-benar setimpal dengan kos telah dibelanjakan.

“Apabila berlaku masalah dalam rantaian industri ini, pesawah sering menjadi antara pihak yang paling awal menerima kesannya.

“Mereka mengeluarkan modal, tenaga dan masa serta menanggung sebahagian besar risiko pengeluaran, namun akhirnya masih berhadapan dengan ketidaktentuan hasil dan pendapatan,” jelasnya.

Penalti perlu adil dan berkadar

Beliau turut memberi perhatian kepada Fasal 3 yang meminda Seksyen 22 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522], khususnya berkaitan peningkatan kadar penalti.

“Bagi individu selain pertubuhan perbadanan termasuk pengarah, penalti dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM250,000, manakala bagi kesalahan kali kedua daripada RM25,000 sehingga RM500,000.

“Bagi pertubuhan pula, penalti adalah RM2,500 hingga RM500,000 dan bagi kesalahan kali kedua antara RM50,000 hingga RM1 juta,” ujarnya.

Menurut Musoddak, beliau memahami keperluan kerajaan menaikkan penalti kerana akta itu telah berkuat kuasa sejak 1994 dan nilai transaksi industri telah berubah selepas lebih tiga dekad.

Katanya, kadar penalti yang rendah mungkin tidak lagi memberi kesan pencegahan mencukupi, terutama terhadap pemain industri berkemampuan kewangan besar.

Namun, beliau mengingatkan bahawa peningkatan penalti yang begitu signifikan mesti mengambil kira kesepadanan hukuman kerana industri itu bukan hanya melibatkan syarikat besar, sebaliknya turut merangkumi pengilang kecil, pemborong, peruncit, pembeli padi dan perusahaan tempatan dengan kapasiti kewangan berbeza.

Beliau berkata, kesalahan teknikal atau pentadbiran tidak sepatutnya disamakan dengan perbuatan sengaja memanipulasi harga, menyeleweng bekalan, menyalahgunakan lesen atau memperoleh keuntungan secara tidak sah.

“Apakah mekanisme yang akan digunakan kerajaan untuk memastikan penalti di bawah Seksyen 22 dikenakan secara berkadar berdasarkan tahap keseriusan kesalahan, saiz perusahaan, keuntungan daripada pelanggaran serta kesannya terhadap pesawah dan pengguna?” soalnya.

Bekalan beras putih tempatan

Menyentuh isu beras putih tempatan (BPT), beliau berkata bekalannya di pasaran masih tidak konsisten walaupun Malaysia mempunyai kawasan penanaman padi dan ribuan pesawah yang mengusahakan sawah setiap musim.

“Melihat kepada pasaran beras putih tempatan seolah hidup segan, mati tak mahu. Kadang-kadang ada, kadang-kadang tak ada,” katanya.

Menurut beliau, apabila bekalan BPT tidak mencukupi, rakyat akhirnya terpaksa beralih kepada beras import yang lazimnya dijual pada harga lebih tinggi.

Beliau menggesa penguatkuasaan lebih tegas terhadap pihak yang menyorok atau menyimpan stok BPT secara tidak munasabah, termasuk mencampurkan beras tempatan dengan beras import untuk mengaut keuntungan.

Perbuatan itu, jelasnya, menjejaskan bekalan BPT dan menyebabkan rakyat terpaksa membeli beras pada harga lebih tinggi.

Harga tidak boleh menekan pesawah

Musoddak juga merujuk Fasal 2 dan Fasal 4 yang berkait secara langsung dengan mekanisme harga.

“Fasal 2 meminda Perenggan 4(2)(c) Akta 522 dengan menggantikan perkataan ‘menetapkan’ kepada ‘menguatkuasakan’, sekali gus memberi fungsi kepada Ketua Pengarah, tertakluk kepada kelulusan Menteri, untuk menguatkuasakan harga maksimum atau minimum padi dan beras.

“Fasal 4 pula meminda Seksyen 29 melalui perenggan baharu 29(1), yang memberi kuasa kepada Menteri membuat peraturan bagi menetapkan gred beras dan kawalan harga bagi beras bergred,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau, kawalan harga perlu mengambil kira seluruh rantaian, daripada harga padi diterima pesawah, kos pengilangan dan pengedaran, hingga harga di peringkat runcit.

“Kos baja, racun, benih, sewa dan jentera yang ditanggung pesawah semakin mahal.

“Oleh itu, apabila kerajaan mengawal harga pada peringkat akhir, jangan sampai tekanan terhadap margin itu akhirnya dipindahkan kepada pihak yang berada paling awal dalam rantaian itu iaitu pesawah,” katanya.

Beliau turut menegaskan kaedah penggredan mestilah mempunyai standard yang jelas, konsisten dan telus kerana ketidakseragaman gred akan menjejaskan harga diterima pesawah serta struktur harga sepanjang rantaian.

Musoddak juga menyambut baik usaha kerajaan memperkukuh pengawalseliaan industri padi dan beras, namun menegaskan setiap penambahan kuasa serta peningkatan penalti mesti dilaksanakan secara adil, berkadar dan berpaksikan realiti industri.

Jelasnya, ketirisan dan manipulasi perlu dibanteras, harga beras perlu kekal munasabah untuk pengguna, manakala pesawah mesti menerima pulangan adil serta kedudukan tawar-menawar yang lebih baik.

“Keterjaminan makanan negara bukan hanya soal memastikan bekalan beras mencukupi, tetapi memastikan pesawah terus mampu dan berdaya maju untuk mengusahakan sawah,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2026

- Advertisement -