
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 perlu dikuatkuasakan secara berwibawa dan jujur bagi menjamin sekuriti makanan negara, melindungi pesawah serta pemain industri, di samping memastikan rakyat tidak terbeban dengan harga beras yang tinggi.
Ahli Dewan Negara, Senator Baharuddin Ahmad berkata, pindaan terhadap Akta 522 itu penting untuk mengemas kini serta memperkukuh kawal selia industri padi dan beras negara, terutama dalam membendung penipuan, penyorokan dan pencampuran beras tempatan dengan beras import.
“Walaupun ada undang-undang, tetapi kalau tidak dikuatkuasakan dengan sempurna, dengan efektif, maknanya akta itu tidak bermakna,” katanya.
Menurut beliau, isu penyeludupan beras di Malaysia pernah berlaku dengan keadaan berbeza pada era 1970-an apabila beras dari Thailand diseludup masuk kerana harganya lebih murah berbanding harga tempatan.
Jelas beliau, beras berkenaan kemudian dimasukkan ke kilang atau gudang sebelum dikeluarkan semula dan dijual sebagai beras tempatan pada harga lebih mahal.
Namun, keadaan kini telah berubah apabila harga beras di Thailand lebih tinggi daripada harga beras tempatan, justeru, berpandangan kemungkinan beras Malaysia diseludup ke luar negara adalah tidak munasabah.
Sebaliknya, melihat isu lebih besar ialah beras tempatan dicampurkan dengan beras luar negara lalu dijual pada harga beras import, katanya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Negara, semalam.
Perkasakan MARDI
Baharuddin berharap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta pihak berkuasa dapat menguatkuasakan undang-undang dengan tegas demi menjaga kepentingan bekalan makanan negara.
Dalam hal itu, beliau mencadangkan supaya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) diperkasakan, khususnya dalam mengenal pasti beras tempatan dan beras import.
Katanya, kepakaran MARDI mungkin diperlukan sebagai keterangan dalam prosiding mahkamah bagi menentukan sama ada berlaku pencampuran beras tempatan dan import.
Beliau turut meminta Menteri mempertimbangkan klausa pengecualian yang perlu bagi perkara-perkara tertentu.
Kebajikan pesawah dan harga beras
Menyentuh objektif RUU untuk melindungi pesawah dan pemain industri dalam rantaian padi serta beras, beliau berkata kebajikan pesawah lazimnya berkait dengan tuntutan harga padi yang lebih tinggi supaya mereka memperoleh pendapatan setimpal dengan usaha sebagai petani dan pengeluar hasil padi negara.
Pada masa sama, pemain industri pula cenderung mahu harga beras lebih tinggi kerana mereka menjual beras.
“Sekiranya harga padi dinaikkan, sudah tentu pemain industri juga hendak menaikkan harga beras dan kesannya adalah kepada rakyat yang menggunakan beras, termasuk petani dan pesawah itu sendiri.
“Peranan kerajaan penting untuk mengimbangi kepentingan pesawah yang mahu hasil tinggi, pemain industri yang mahu keuntungan, serta rakyat yang memerlukan harga beras berpatutan dan bekalan beras putih mencukupi,” ujarnya.
Beliau yakin perkara itu dapat dilaksanakan jika penguatkuasaan undang-undang dibuat dengan berkesan sehingga tidak berlaku lagi sorokan bekalan dan kegiatan seumpamanya.
Penalti perlu berimbang
Baharuddin turut membangkitkan kebimbangan terhadap penalti khusus yang dicadangkan, iaitu denda tidak melebihi RM15,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Beliau menyifatkan hukuman itu agak berat walaupun kesalahan berkenaan tidak melibatkan rampasan padi atau beras dan dikategorikan sebagai kesalahan pentadbiran.
“Antara contoh, adalah kegagalan mempamerkan lesen di premis, memperbaharui lesen dalam tempoh kurang 30 hari daripada tarikh tamat, menyelenggara akaun harian, serta memastikan label tanda harga jelas dan tepat,” ujar beliau.
Menurutnya, kegagalan mempamerkan lesen mungkin berlaku tanpa sengaja, misalnya lesen yang digantung terjatuh, manakala peniaga kecil di kampung dan luar bandar pula mungkin terlupa memperbaharui lesen atau menghadapi kesukaran menyelenggara akaun harian.
Beliau meminta pihak berkuasa mempertimbangkan tindakan yang bersesuaian terhadap kesalahan sedemikian kerana ia tidak semestinya menjejaskan bekalan beras negara.
Beliau juga meminta penjelasan berhubung istilah ‘pertubuhan’ dan ‘perbadanan’ bagi penalti am.
“Pindaan itu mencadangkan denda bagi individu dinaikkan daripada RM15,000 kepada maksimum RM250,000 serta penjara sehingga dua tahun bagi kesalahan pertama.
“Bagi kesalahan kedua, denda dicadangkan naik daripada RM25,000 kepada maksimum RM500,000 dan penjara sehingga lima tahun.
“Bagi pertubuhan perbadanan pula, denda maksimum dinaikkan daripada RM25,000 kepada RM500,000 tanpa hukuman penjara,” katanya.
Beliau mempersoalkan sama ada pengurusan, lembaga pengarah, pengurus besar atau ketua pegawai eksekutif pertubuhan berkenaan turut akan dikenakan tindakan kerana merekalah yang mentadbir sesebuah perbadanan.
Mesin pemprosesan kecil
Baharuddin juga meminta penjelasan mengenai penggunaan mesin memproses padi dan beras berskala kecil yang semakin popular di kawasan tanaman padi seperti Kedah, Perlis dan Perak.
Beliau mahu diketahui sama ada penggunaan mesin itu tertakluk kepada Akta Padi dan Beras, memerlukan lesen atau perlu mematuhi syarat pemprosesan dan penggredan beras, termasuk apabila digunakan oleh petani untuk keperluan sendiri serta keluarga berhampiran rumah.
Penjelasan itu katanya, penting supaya petani tidak terjebak melakukan kesalahan yang tidak mereka sedari, lebih-lebih lagi mesin berkenaan murah, mudah dikendalikan dan boleh ditempatkan di mana-mana.
“Saya berharap pindaan akta ini benar-benar memperkukuh kuasa pihak berkuasa bagi menjamin stok dan bekalan beras negara sentiasa mencukupi, sama ada ketika aman mahupun dalam keadaan tidak menentu,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2026











