
SEREMBAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.11 Lobak, PM Kumar, memperkenalkan manifesto bertemakan ‘Tekad Lobak – PM Kumar’ sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau menggariskan lima teras utama sebagai komitmen untuk memperkukuhkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat serta memacu pembangunan menyeluruh di kawasan itu.
Manifesto tersebut dirangkumkan menerusi akronim ‘LOBAK’, yang membawa maksud; Layanan Mesra dan Berintegriti, Organisasi Komuniti Diperkasa, Beri Perhatian kepada Infrastruktur Rakyat, Angkat Ekonomi Rakyat dan Kebajikan Diutamakan.
Melalui tawaran itu, PM Kumar beriltizam untuk menjadi wakil rakyat yang amanah, telus dan sentiasa mendekati masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum, agama mahupun status sosial.
Di bawah teras Layanan Mesra dan Berintegriti, beliau berjanji untuk mendengar setiap aduan rakyat secara terbuka serta berusaha mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan demi memastikan setiap permasalahan diberikan perhatian sewajarnya.
Selain itu, katanya manifesto berkenaan turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuhkan organisasi komuniti menerusi kerjasama erat bersama persatuan penduduk, Rukun Tetangga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.
Beliau berkata, pendekatan tersebut diyakini mampu memperkukuhkan jaringan kerjasama antara masyarakat dengan wakil rakyat, sekali gus membolehkan pelbagai isu dikenal pasti lebih awal supaya dapat mewujudkan komuniti yang lebih tersusun, harmoni dan sejahtera.
Dalam aspek pembangunan, PM Kumar turut memberi perhatian kepada penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan asas yang menjadi keperluan harian penduduk di DUN Lobak.
“Antara keutamaan yang digariskan ialah penyelenggaraan rumah pangsa dan lif, penambahbaikan sistem perparitan, penyelenggaraan jalan raya, pemasangan serta penyelenggaraan lampu jalan, bagi memastikan keselesaan serta kesejahteraan penduduk terus dipertingkatkan,” jelasnya.
Beliau berkata manifesto itu turut menggariskan komitmen untuk memperkasa ekonomi rakyat menerusi program pembangunan kemahiran, peluasan peluang pekerjaan serta penyediaan ruang keusahawanan.
“Usaha tersebut diharap dapat membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat, sekali gus meningkatkan taraf kehidupan penduduk secara mampan,” ujarnya.
Dalam pada itu, aspek kebajikan tidak diketepikan apabila PM Kumar beriltizam memastikan golongan warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) serta keluarga berpendapatan rendah terus menerima perhatian dan bantuan yang sewajarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kesejahteraan rakyat perlu menjadi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan supaya manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat.
Secara keseluruhannya, manifesto ‘Tekad Lobak – PM Kumar’ mencerminkan pendekatan yang menyeimbangkan aspek perkhidmatan, pembangunan, ekonomi dan kebajikan melalui lima teras utama yang saling melengkapi.
Tawaran berasaskan akronim ‘LOBAK’ itu menjadi rangka kerja yang diketengahkan oleh P.M. Kumar dalam usahanya membawa pendekatan berorientasikan rakyat sekiranya diberikan mandat oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi DUN Lobak. – HARAKAHDAILY 29/7/2026




















