Projek N9 dihentikan PH 2018, kini masuk manifesto PRN?

- Advertisement -

SEREMBAN: Negeri Sembilan perlu kembali melaksanakan pembangunan berasaskan perancangan jangka panjang bagi merancakkan semula pertumbuhan ekonomi yang dikatakan terbantut sejak 2018.

- Advertisement -

Mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega PN-BN di UDM Shahbandar, Ampangan, di sini.

Beliau berkata, banyak dasar dan projek pembangunan yang dirancang sebelum 2018 tidak diteruskan selepas pertukaran kerajaan sehingga menjejaskan pembangunan negara termasuk di Negeri Sembilan.

“Sudah lapan tahun saya tinggalkan kerajaan. Saya melihat negara ini semakin kucar-kacir. Banyak perkara yang telah ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu tidak diteruskan, termasuk projek pembangunan yang sepatutnya dilaksanakan untuk rakyat di Negeri Sembilan,” katanya.

Menurut beliau, manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan lebih menepati keperluan rakyat kerana mengandungi cadangan yang realistik serta memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi secara menyeluruh.

Beliau berkata, sebahagian kandungan Manifesto Pakatan Harapan (PH) pula diambil daripada perancangan terdahulu termasuk Rancangan Malaysia Ke-13, namun mempersoalkan sama ada ia benar-benar akan dilaksanakan.

Mengulas ekonomi negara, beliau berkata, Malaysia yang suatu ketika dahulu mendahului Indonesia, Vietnam dan Filipina kini telah dipintas negara-negara tersebut dari segi pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.

“Hutang negara meningkat daripada RM686 bilion pada 2018 kepada RM1.4 trilion ketika ini. Hutang ini sudah lebih dua kali ganda.

“Ada yang mengatakan pinjaman itu untuk membayar faedah hutang, tetapi hakikatnya pinjam demi pinjam. Siapa yang akan membayar akhirnya? Anak cucu cicit kita,” ujarnya.

Beliau turut mengaitkan kelemahan nilai ringgit dengan peningkatan kos sara hidup rakyat termasuk kos menghantar anak melanjutkan pengajian ke luar negara serta perbelanjaan menunaikan ibadah haji.

Menyentuh mengenai Lembaga Tabung Haji, Irwan berkata kenyataan kononnya institusi itu mengalami masalah kewangan perlu dilihat dalam konteks pelaburan jangka panjang.

Beliau yang pernah menganggotai Lembaga Pengarah Tabung Haji berkata, kejatuhan nilai aset pada 2018 berpunca daripada kemerosotan pasaran saham dan bukannya kerana aset berkenaan tidak mempunyai nilai.

“Pelaburan (adalah) ialah pelaburan jangka panjang, bukan jangka pendek. Sebab itu kita perlu melihat pembangunan negara dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, bukannya secara berasingan atau bersifat sementara,” jelasnya.

Menurut beliau, kerajaan sedia ada tidak mempunyai perancangan pembangunan jangka panjang yang menyeluruh, sebaliknya lebih tertumpu kepada pendekatan bersifat sementara.

Irwan turut mempertahankan langkah kerajaan terdahulu menyalurkan bantuan kepada FELDA dengan menjelaskan suntikan dana kepada agensi itu diperlukan bagi membiayai proses penanaman semula yang tidak mampu ditanggung melalui hasil semasa.

“FELDA dan Tabung Haji merupakan institusi penting dalam meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu dan umat Islam selain menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat,” tegasnya.

Menyentuh pembangunan Negeri Sembilan, beliau berkata kadar pertumbuhan ekonomi negeri itu sekitar 2.6 peratus, lebih rendah berbanding Johor yang mencapai lapan peratus dan Melaka yang melebihi tiga peratus.

Beliau berkata, pelaksanaan projek Malaysia Vision Valley yang dirancang ketika pentadbiran terdahulu turut terbantut walaupun pelbagai perancangan melibatkan pembangunan industri, universiti, infrastruktur dan rantaian nilai telah disediakan.

“Sekarang perkara itu dimasukkan semula dalam manifesto, sedangkan lapan tahun tidak dilaksanakan,” bidasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa khususnya golongan muda supaya membuat pilihan yang tepat pada pilihan raya akan datang dan tidak mudah terpengaruh dengan janji politik.

Menurutnya, pilihan raya itu penting bagi menentukan hala tuju negara dan Negeri Sembilan serta menjadi medan rakyat menentukan masa depan mereka.

“Rakyat sudah sedar. Jangan salah pilih dan menyesal kemudian. Gunakan peluang ini untuk membuat pilihan yang betul demi masa depan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2026

- Advertisement -