Siti Zailah nafi terlibat dalam gerakan Moonies

Siti Zailah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang dan Ketua Muslimat PAS Kelantan, Dato’ Siti Zailah Yusoff menafikan penglibatannya dalam badan bukan kerajaan (NGO), Parliamentarians Federation for World Peace (PFWP) Malaysia.

- Advertisement -

Beliau berkata, NGO yang sering menjadi tumpuan itu didakwa menyebarkan dakyah kristian selain menjalinkan hubungan rapat dengan sebuah kumpulan kontroversi dari Korea Selatan iaitu Gereja Unification atau Moonies.

Menurutnya, terdapat kebimbangan mengenai penglibatan ahli parlimen yang beragama Islam dalam NGO tersebut, termasuk penglibatan secara langsung pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebagai penasihat dan pengerusi PFWP.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya dilantik ketika itu hanya mewakili pembangkang, membawa isu berkaitan hak asasi dan keamanan sejagat dan tidak pernah menghadiri sebarang upacara yang melibatkan delegasi dalam dan luar negara.

“Saya tidak pernah aktif dalam NGO ini, saya harap perkara ini dapat memberi penjelasan kepada masyarakat supaya tidak menimbulkan fitnah dan salah faham seolah-olah saya terlibat dalam gerakan ini,” ujar beliau.

Pendedahan itu dibuat oleh seorang penyelidik, penulis dan aktivis, Ahmad Iqram Mohamad yang mendedahkan mengenai NGO PFWP yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Negara, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Ramli.

Selain itu, ia dibantu oleh Menteri Perladangan, Industri dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Sri Dr Noraini Ahmad, sementara Siti Zailah pula sebagai Penolong Setiausaha PFWP.

Ahmad Iqram mendakwa, PFWP Malaysia merupakan cabang politik di bawah pengaruh Universal Peace Federation (UPF), sebuah badan antarabangsa yang ditubuhkan oleh Sun Myung Moon, pengasas Gereja Unification.

Bahkan kehadiran individu yang didakwa sebagai ‘National Messiah’ Gereja Unification di Malaysia, Dr Yoo Chong Young (Reverend Yoo) sering kelihatan dalam mesyuarat tahunan NGO yang dinaungi oleh Tan Sri Johari Abdul itu. – HARAKAHDAILY 6/1/2026

- Advertisement -