
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden menegaskan, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tidak dialu-alukan menjejakkan kaki ke bumi Malaysia kerana menyokong pembunuhan rakyat Palestin.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat sambil menyifatkan Trump sebagai penjenayah perang paling zalim di dunia yang tidak berperikemanusiaan serta bertopengkan syaitan kerana terus menutup mata terhadap penderitaan rakyat Palestin.
“Donald Trump, ‘you are not welcome here in Malaysia’, kamu tidak diundang, kamu tidak dialu-alukan, kamu tidak diterima sama sekali untuk menjejakkan kaki kamu ke bumi ini.
“Kerana kamu menyokong pembunuhan beramai-ramai saudara mara kita di Palestin,” ujarnya dalam himpunan bantah Trump di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di sini semalam.
Menurut Ahli Parlimen Alor Setar itu, Trump mengaku membekalkan senjata, memberi bantuan kewangan serta berikrar mahu menghapuskan HAMAS, tindakan yang mencerminkan kezaliman dan kebinatangan.
“Oleh kerana kamu ada mata, kamu tidak gunakan mata kamu. Oleh kerana kamu ada telinga, kamu tidak gunakan telinga kamu. Oleh kerana kamu ada kepala otak, kamu tidak berfikir tentang perikemanusiaan. Maka layaklah kami menggelarkan kamu sebagai syaitan pada hari ini. Syaitan, syaitan, syaitan Trump,” tegasnya.
Ustaz Afnan turut menempelak pihak yang memperlekeh usaha solidariti umat Islam termasuk himpunan, pelayaran flotilla, doa dan kempen media sosial yang disifatkan sebagai usaha suci membela rakyat Palestin.
“Yang memperlekehkan itu ketahuilah merekalah ejen-ejen musuh yang mahu melihat kita berpecah,” ujarnya sambil menyeru umat Islam bersatu dan meneruskan perjuangan membebaskan bumi Palestin.
Beliau berkata, walaupun musuh berusaha membunuh pemimpin HAMAS dan generasi muda Palestin, perjuangan itu tidak akan terhenti kerana ia akan hidup sehingga ke hari kiamat.
“Ketahuilah wahai Trump, wahai Amerika Syarikat, wahai Israel, wahai Netanyahu, kamu tidak akan sama sekali berjaya membunuh perjuangan ini kerana perjuangan ini akan sentiasa hidup sehingga ke hari kiamat,” katanya. — HARAKAHDAILY 25/10/2025











