Misi GSF nyala api kesedaran, pastikan tidak padam

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff menyeru rakyat Malaysia agar terus menunjukkan solidariti terhadap Palestin susulan misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini.

- Advertisement -

Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua aktivis kemanusiaan antarabangsa, termasuk sukarelawan Malaysia yang berani menempuh risiko demi membantu rakyat Palestin. 

Katanya, walaupun kesemua kapal flotilla ditahan oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa, tindakan mereka dianggap berjaya meningkatkan kesedaran global terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.

“Saya merakamkan penghargaan dan setinggi-tinggi penghormatan kepada semua aktivis kemanusiaan antarabangsa yang terlibat dalam misi GSF ke Gaza, termasuk sukarelawan dari Malaysia yang berani menempuh risiko demi membela nasib rakyat Palestin.

“Walaupun kesemua kapal flotilla telah ditahan oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa, semangat dan keberanian para aktivis tersebut tidak boleh dianggap gagal. Sebaliknya, tindakan mereka telah menghidupkan semula kesedaran global terhadap krisis kemanusiaan di Gaza dan menzahirkan suara solidariti dunia Islam serta masyarakat antarabangsa yang cintakan keadilan.

“Kini, selepas misi flotilla tersebut, tanggungjawab seterusnya terletak di bahu kita semua sebagai rakyat Malaysia. Perjuangan membela Palestin tidak terhenti di lautan Mediterranean ia mesti diteruskan melalui pelbagai saluran dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menggesa rakyat Malaysia untuk terus memberi sokongan melalui sumbangan kepada badan-badan NGO yang sah seperti Cakna Palestin, Muslim Care Malaysia, PAS Relief, Yayasan Amal Malaysia dan lain-lain bagi memastikan bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas sampai ke Gaza.

Wan Martina turut menekankan kepentingan memperkukuh kesedaran masyarakat, khususnya generasi muda, mengenai isu Palestin dari perspektif kemanusiaan.

“Kempen boikot produk yang menyokong rejim Zionis diperkukuhkan, sebagai tekanan ekonomi yang sah dan berprinsip.

“Institusi pendidikan dan masjid juga boleh memainkan peranan sebagai pusat ilmu, doa dan solidariti rakyat terhadap perjuangan Palestin,” katanya.

Beliau juga menyeru rakyat Malaysia mendesak kerajaan untuk mengekalkan dasar luar yang menolak normalisasi dengan Israel dan memperkukuh jaringan diplomasi kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

“Perjuangan membela Palestin adalah perjuangan menegakkan maruah manusia sejagat. Ia bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau NGO tetapi tanggungjawab setiap rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan.

“Kita tidak akan berundur selangkah pun dalam menyatakan pendirian bahawa Palestin adalah bumi yang merdeka dan rakyatnya berhak hidup dengan aman tanpa penindasan. Misi Global Sumud Flotilla telah menyalakan api kesedaran dan kini kita semua mesti memastikan api itu tidak padam.

“Dari masjid ke universiti, ke Parlimen, suara Malaysia mesti terus bergema untuk Palestin,” katanya. -HARAKAHDAILY 7/10/2025

- Advertisement -