
Kita sering menggunakan hujah ‘jalan diplomasi’ untuk menjawab persoalan kenapa tiada tindakan tegas dalam konflik pambantaian di PL. Kita juga sering menggunakan alasan bahawa Malaysia ‘negara kecil’ dan ‘trading country’ untuk menjustifikasikan tindakan ‘diplomasi’ kita. Kata kita, sebarang tindakan ‘agresif’ hanya akan memburukkan keadaan dan menyebabkan ekonomi kita terjejas.
Kita juga mengandaikan bahawa pelabur-pelabur asing seperti MNC akan menarik pelaburan sekiranya kita bersikap tegas dan ‘agresif’ terhadap ISR dan sekutunya. Rakyat akan hilang pekerjaan dan mata pencarian, kata kita.
Namun, kita mungkin terlepas pandang beberapa perkara. Pertamanya ialah perdagangan merupakan hubungan 2 hala. Sebanyak mana kita memerlukan pelaburan, sebanyak itu juga pelabur perlukan tenaga kerja dan sumber daripada negara kita. Hubungan perdagangan adalah hubungan simbiosis yang bersifat ‘win-win’ dan perlu dilayari dengan berhemah.
Keduanya ialah hubungan perdagangan tidak semuanya bersifat ‘Government to Government’. Banyak urusniaga perniagaan dan pelaburan, walaupun dipromosi oleh Kerajaan namun kekal bersifat swasta dan kapitalis. Maka, perhitungan paling besar untuk kapitalis adalah keuntungan, tidak penting sama ada polisi sesebuah negara tentang politik antarabangsa memihak kepada mereka atau tidak.
Saya tidak katakan tiada perkaitan langsung. Cuma saya katakan, kita tidak boleh terus-terusan terikat dengan pemikiran tidak produktif sebegitu.
Ambil contoh Afrika Selatan misalnya. Nilai perdagangan Afrika Selatan dan Amerika Syarikat ialah sebanyak USD26.2 billion (RM110.33 billion) pada tahun 2024. (Sumber: https://ustr.gov/…/africa/southern-africa/south-africa….)
Afrika Selatan juga menandatangani beberapa perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat seperti Trade and Investment Framework Agreement (TIFA) in 2012, dan Trade, Investment, and Development Cooperative Agreement (TIDCA) in 2008. Hubungan perdagangan mereka baik sekali.
Nilai dagangan Malaysia – Amerika Syarikat pula ialah USD86.5 billion (RM364.51 billion) pada tahun 2024 (Sumber: https://ustr.gov/countrie…/southeast-asia-pacific/malaysia.)
Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia pada tahun 2024 ialah USD422 billion (RM1.7 trillion pada tukaran semasa) sementara Afrika Selatan ialah USD403 billion (RM1.69 trillion). Ini menunjukkan bahawa kekuatan ekonomi Malaysia adalah hampir setara dengan Afrika Selatan walaupun dagangan Malaysia lebih tinggi.
Walaupun Afrika Selatan juga boleh digelar “trading Country” dan mempunyai keterikatan dagangan dengan Amerika Syarikat, mereka berani ke hadapan untuk memfailkan kes di ICJ ke atas ISR, yang merupakan sekutu kuat Amerika Syarikat. Mereka tidak sesekali takut dengan ancaman perdagangan Amerika Syarikat walaupun ternyata Amerika Syarikat menolak, membantah dan memperlekeh tindakan undang-undang Afrika Selatan. (Sumber: https://www.bbc.com/news/world-middle-east-67922346.amp)
Walaupun Afrika Selatan mengalami beberapa tekanan seperti bantuan AS terhadap isu tanah di Afrika Selatan, namun AS masih belum menyatakan pendirian tentang perjanjian-perjanjian dagangan dengan Afrika Selatan. (Sumber: https://www.timesofisrael.com/trump-orders-cut-to…/.)
Kongres Amerika Syarikat juga telah membentangkan RUU untuk menyemak semula hubungan dengan Afrika Selatan pada tahun 2024. Namun sehingga kini Kongres masih belum mengundi untuk US-South Africa Bilateral Relations Review Act tersebut. (Sumber: https://www.kennedy.senate.gov/…/kennedy-introduces….)
Sehingga kini juga masih belum kedengaran ada syarikat multi nasional Amerika Syarikat yang telah menarik pelaburan daripada Afrika Selatan.
Pendek kata, ada 2 pelajaran yang boleh kita pelajari. Pertamanya, walaupun hubungan dan kebergantungan dagangan dengan Amerika Syarikat adalah faktor yang penting, namun pendirian yang tegas tentang isu ISR tidak akan dapat mengganggu-gugat hubungan dagangan yang bersifat simbiosis. Amerika Syarikat juga perlukan negara lain, dan tidak boleh berdagangan sendirian.
Keduanya, negara-negara lain yang bersifat “trading country” perlu mengambil tindakan yang sedikit berani untuk menekan Amerika Syarikat tentang isu PL. Sudah tiba masanya, perhitungan dagangan diletakkan di perkara kedua. Amerika Syarikat juga takut.
Columbia juga mempunyai KDNK yang lebih kurang sama dengan Malaysia iaitu USD418.5 billion (RM1.76 trillion). Hubungan dagangan Columbia – Amerika Syarikat juga bernilai USD 53.5 billion (RM224.25 billion) pada tahun 2024. (Sumber: https://ustr.gov/countries-regions/americas/colombia.)
Namun, Columbia tetap berani mengambil tindakan tegas dengan mengusir keluar kakitangan diplomatik ISR dari Bogota serta merta. Tidakkah mereka risau tentang kesan tindakan mereka terhadap dagangan dengan AS?
Akhir kata, saya kira sudah tiba masanya Malaysia dan juga negara-negara Islam yang lain juga memikirkan tindakan yang lebih agresif ke atas ISR dan sekutu besarnya Amerika Syarikat, dan meletakkan sekejap isu dagangan ke tepi. Isu dagangan akan dapat diuruskan kalau Malaysia mula beralih tumpuan perdagangan ke negara-negara lain seperti China, Turkiye dan sebagainya.
Walaupun kedatangan Trump sudah sukar untuk dibatalkan, namun tindakan Malaysia selepas ini perlu lebih bijak dan berani mencontohi keberanian Afrika Selatan dan Columbia.
YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 7/10/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











