Influenza A: Apa tindakan Menteri KPM, KKM?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penularan wabak Influenza A dilaporkan semakin meningkat di seluruh negara, menimbulkan kebimbangan ibu bapa dan guru apabila semakin ramai pelajar tidak hadir ke sekolah akibat disyaki dijangkiti penyakit tersebut.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, situasi jangkitan Influenza A sangat membimbangkan kerana kes jangkitan dilaporkan sedang berlaku di seluruh negara dan berlaku arahan penutupan sekolah.

Menurutnya, sehingga kini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih belum mengumumkan sebarang langkah pencegahan rasmi bagi mengawal penularan penyakit tersebut di sekolah.

“Yang peliknya, sampai sekarang Kementerian Pendidikan belum umumkan langkah pencegahan rasmi. Menteri kata nak tunggu saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk arahkan pemakaian pelitup muka. Itu pun empat hari lepas.

“Payah sangat ke nak panggil mesyuarat tergempar dan bincang?” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Shah Alam ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa KPM sebenarnya tidak perlu menunggu saranan KKM untuk mengambil tindakan kerana kementerian tersebut sudah mempunyai garis panduan sendiri berkaitan pencegahan jangkitan Influenza A.

Garis panduan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada 30 Jun 2022 itu dengan jelas menyebut bahawa pihak sekolah boleh menyarankan murid memakai pelitup muka (face mask) sekiranya perlu berinteraksi dengan orang lain atau berada di tempat awam.

“Langkah berjaga-jaga boleh diambil serta-merta tanpa perlu menunggu pihak lain. Takkan nak tunggu keadaan jadi kritikal baru nak bertindak. Bila dah merebak, masa tu dah terlambat,” katanya lagi.

Beliau turut menyuarakan keresahan ramai ibu bapa yang kini bimbang menghantar anak ke sekolah.

Katanya, ramai tertanya-tanya sama ada persekitaran sekolah masih selamat, malah ada yang memilih untuk tidak menghantar anak mereka walaupun hanya menunjukkan simptom ringan.

Dr Nurul Islam turut mencadangkan agar Menteri Pendidikan dan Menteri Kesihatan mengadakan sidang media bersama bagi memberikan maklumat terkini mengenai situasi sebenar jangkitan Influenza A di sekolah-sekolah.

“Rakyat perlukan maklumat yang jelas dan terkini. Kalau teruk, kata teruk. Kalau terkawal, kata terkawal. Ibu bapa tengah panik sekarang, tapi YB Menteri senyap,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan keutamaan Menteri Pendidikan yang dilihat masih mempunyai masa menghadiri program sambutan dan aktiviti lain, namun tidak tampil memberi penjelasan mengenai situasi jangkitan yang semakin membimbangkan ini.

“Saya tengok elok saja YB ada masa turun sambut sukarelawan GSF balik. Takkan tak ada masa nak buat kenyataan media untuk kemas kini isu jangkitan Influenza A dan beri arahan supaya pelajar pakai pelitup muka di sekolah,” katanya.

Tambah beliau, wabak influenza tidak boleh dipandang ringan kerana ia mudah merebak dalam persekitaran tertutup seperti bilik darjah dan boleh menjejaskan kesihatan ramai murid dalam tempoh singkat.

“Kita tidak minta tindakan drastik, cuma langkah pencegahan yang cepat dan jelas. Pemakaian pelitup muka di sekolah boleh kurangkan risiko jangkitan. Mencegah lebih baik daripada merawat,” katanya. – HARAKAHDAILY 09/10/2025

- Advertisement -