7 pemain warisan: Wajib bongkar ‘siapa berbohong’?

- Advertisement -

SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan mendesak satu siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan segera bagi mengenal pasti siapa berbohong dalam skandal yang mencalar imej sukan tanah air ketika ini.

- Advertisement -

Ia rentetan pendedahan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai pemalsuan dokumen tujuh pemain bola sepak warisan negara menerusi Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

​Pesuruhjayanya, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, isu tersebut bukan sekadar menjejaskan reputasi bola sepak Malaysia, tetapi turut memalukan maruah institusi sukan negara di peringkat antarabangsa.

​Menurutnya, rakyat berhak mengetahui pihak sebenar yang bertanggungjawab dan tidak wajar isu ini ditutup dengan alasan kesilapan teknikal semata-mata.

​“PAS Negeri Sembilan mendesak agar siasatan segera dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab serta siapa yang berbohong dalam isu ini.

“Sama ada dalam proses penyediaan dokumen, pengesahan identiti, atau dalam kenyataan awam yang bercanggah dengan dapatan FIFA,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting.

​Beliau menambah, sekiranya terbukti wujud unsur pemalsuan dokumen, tindakan tegas mesti diambil terhadap mana-mana individu atau pegawai yang terlibat tanpa kompromi.

​Katanya lagi, budaya akauntabiliti dan ketelusan perlu ditegakkan bukan sahaja dalam politik dan pentadbiran, tetapi juga dalam pengurusan sukan yang membawa nama negara.

​“Sukan bola sepak mesti dipandu oleh nilai kejujuran, disiplin dan maruah bangsa, bukan sekadar untuk mengejar ranking atau kemenangan sementara,” ujarnya.

​Dalam pada itu, PAS Negeri Sembilan turut menyokong penuh usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguatkuasaan lain untuk menyemak semula semua dokumen dan proses yang dijalankan oleh FAM.

​“Kemenangan tidak bernilai jika dicapai dengan pembohongan,” katanya.

Terdahulu, FIFA telah mengeluarkan dokumen penuh penghakiman mendedahkan asal usul sebenar tujuh pemain warisan negara yang sebelum ini digantung kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi. – HARAKAHDAILY 9/10/2025

- Advertisement -