
KUBANG PASU: Isu arak dihidangkan dalam sebuah majlis rasmi kerajaan baru-baru ini disifatkan sebagai cerminan tahap sensitiviti yang rendah serta hilangnya amalan politik bermoral tinggi dalam kalangan pemimpin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, keengganan menteri terbabit untuk mengakui kesilapan adalah bukti mereka bukan material seorang negarawan.
“Keegoan yang terlalu tinggi untuk mengakui kesilapan dan meminta maaf sejujur hati jelas menunjukkan mereka bukan material menteri,” kata beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kubang Pasu.
Menurutnya, seorang menteri pada asasnya adalah ‘individu terbaik’ yang dipilih untuk memimpin dan menjadi contoh kepada rakyat, namun sikap sedemikian seolah-olah membuktikan rakyat dan Perdana Menteri telah ‘tersalah pilih’.
“Salah pilih kawan akan rugi diri sendiri. Salah pilih pemimpin akan rugi satu generasi,” ujar beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Dr Haim Hilman yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, menambah bahawa negara pada hari ini amat dahagakan pemimpin yang mengamalkan ‘Politik Bermoral Tinggi’ atau Value-Based Politics.
Jelasnya, politik berteraskan nilai ini terbina atas beberapa prinsip utama termasuk kejujuran dan integriti, mengutamakan kepentingan serta sensitiviti rakyat, dan menghormati undang-undang.
“Ia juga menuntut amalan politik matang yang sentiasa menjaga nama baik negara, keharmonian agama serta kaum, di samping menjunjung tinggi nilai-nilai murni sejagat,” tambahnya.
Beliau berharap suatu hari nanti Malaysia akan dipimpin oleh barisan pemimpin yang benar-benar mengamalkan politik bermoral tinggi demi membina sebuah negara bangsa yang lebih baik dan dihormati dunia. – HARAKAHDAILY 9/10/2025











