
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu bertanggungjawab melakukan reformasi terhadap cara berfikir pimpinan DAP yang dilihat tidak sensitif terhadap budaya dan amalan rakyat negara ini berhubung isu hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan.
Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, walaupun Anwar tidak mempunyai keupayaan politik untuk memecat Menteri Pelancongan, beliau wajar dipuji kerana menegur secara terbuka majlis anjuran agensi kementerian berkenaan yang menghidangkan arak.
“Kementerian (bukan Menteri) telah pun mengeluarkan kenyataan mohon maaf. Tetapi selaku ketua gabungan politik PH-BN, Anwar juga perlu ingatkan orang-orang DAP-nya jangan terlebih sudu dari kuah. Hormati amalan dan budaya negara kita, jika tidak jangan duduk dalam kerajaan!” ujarnya.
Menurutnya, antara pimpinan DAP yang pantas menyokong tindakan menteri berkenaan ialah Nga Kor Ming yang mendakwa isu hidangan arak dalam majlis antarabangsa adalah sebahagian daripada etika global, malah menganggap perkara itu sebagai isu kecil.
“Bekas Speaker DAP Selangor, Teng Chang Khim, lebih biadab apabila menyelar kritikan masyarakat terhadap insiden itu dengan berkata: ‘Yang minum tak mabuk, yang tak minum mabuk’.
“Dulu pun pernah si mulut celupar ini kritik PAS dalam isu yang lebih kurang sama dengan mengatakan: ‘Orang lain minum, PAS pula yang mabuk’,” ujarnya turut memuji Anwar menegaskan dasar kerajaan bahawa alkohol tidak boleh dihidangkan dalam mana-mana acara rasmi kerajaan.
Tambahnya, DAP Sabah turut menyelar Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang enggan hadir majlis rasmi yang dihidangkan arak.
“Anwar bertanggungjawab mereformasikan kotak pemikiran DAP dalam isu ini kerana rakyat di luar sudah bersedia menerajang mereka dan sekutu mereka keluar,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2025











