Kena buang semua sekali Menteri kerajaan hari ini

Pemimpin kerajaan pertahan hidang arak bukti ‘bas bermasalah’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan tindakan seorang Menteri mempertahankan amalan menghidang arak dalam majlis rasmi antarabangsa sebagai bukti kerajaan hari ini diibaratkan seperti ‘bas yang bermasalah’.
 
Beliau merujuk laporan sebuah akhbar tempatan yang memetik kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bahawa ‘menyajikan arak dalam jamuan antarabangsa adalah etika antarabangsa’, sekali gus mencetuskan kontroversi dalam kalangan rakyat.
 
“Dan kenalilah Menteri kesayangan tuan-tuan itu. Inilah sebabnya kita kena buang semua sekali pemandu dan penumpang ‘bas yang bermasalah’ ini,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
 
Terdahulu, tular gambar memaparkan majlis yang dilaporkan media tempatan sebagai Global Travel Meet 2025 Gala Dinner anjuran Tourism Malaysia yang dikatakan menyajikan minuman beralkohol.
 
Namun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan menjelaskan bahawa penganjuran majlis itu mendapat sambutan hangat daripada industri dan sektor swasta yang menaja serta meraikan rakan-rakan antarabangsa melalui acara berkenaan.
 
Beliau menambah, program dua hari setengah yang digerakkan oleh sektor swasta itu berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.
 
Setelah mendapat kecaman ramai, Nga Kor Ming dilaporkan mempertahankan tindakan Tiong King Sing berhubung isu hidangan arak tersebut.
 
Nga menegaskan Malaysia perlu menonjolkan imej keterbukaan serta keyakinan sebagai negara pelbagai budaya serta turut mengecam tindakan Perikatan Nasional yang dikatakan cuba mempolitikkan isu itu.
 
Sementara itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memberi amaran keras kepada Tiong King Sing dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya supaya tidak mengulangi kesilapan menghidangkan arak dalam acara rasmi kerajaan.
 
Anwar menegaskan penjelasan bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas majlis rasmi tetap tidak wajar kerana dasar kerajaan melarang penyajian arak sama sekali.
 
Isu itu turut dibantah Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan Umno menolak sepenuhnya tindakan bercanggah dengan sensitiviti umat Islam dan agama Persekutuan. – HARAKAHDAILY 9/10/2025

- Advertisement -
- Advertisement -