
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia memandang serius pendedahan laporan berhubung isu ketidaksamaan dokumen sijil kelahiran dikemukakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Ketuanya, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, laporan bagi beberapa pemain yang didaftarkan sebagai pemain pasukan kebangsaan Harimau Malaya itu mendedahkan wujud perbezaan ketara antara sijil kelahiran asal diperoleh FIFA dengan versi dikemukakan FAM.
Ia jelasnya termasuk perubahan lokasi kelahiran kepada Malaysia, sedangkan sijil asal menunjukkan kelahiran di negara lain seperti Argentina, Brazil, Sepanyol dan Belanda.
Menurutnya, lebih membimbangkan apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan sijil kelahiran asal individu terbabit tidak pernah diterima atau disahkan pihak berkuasa Malaysia, sebaliknya dikeluarkan berdasarkan dokumen sekunder diperoleh dari luar negara.
“Pengakuan bahawa tiada rekod tulisan tangan asal wujud menimbulkan persoalan serius mengenai ketulenan dan kesahihan dokumen kewarganegaraan yang digunakan oleh FAM,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar dalam kenyataan.
Beliau mempersoalkan bagaimana dokumen rasmi negara seperti sijil kelahiran boleh dikeluarkan tanpa semakan asal dan sekiranya maklumat itu disandarkan kepada sumber luar negara, apakah tahap verifikasi serta semakan silang dijalankan JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Lebih membingungkan, terdapat penyataan tempat lahir seperti ‘Melaka, Malaysia’ atau ‘Pulau Pinang, Malaysia’ bagi individu yang lahir sebelum tahun 1963, sedangkan pada waktu itu Malaysia belum wujud sebagai sebuah negara.
“Hal ini membuktikan kecuaian fakta sejarah dan prosedur rasmi yang sangat memalukan bagi sebuah agensi pendaftaran negara,” terangnya yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).
Afnan berkata, Pemuda PAS menuntut penjelasan daripada FAM dan KDN sama ada proses kelulusan naturalisasi dan pendaftaran pemain pasukan Harimau Malaya dilakukan tanpa penelitian mendalam.
“FAM tidak boleh berlindung di sebalik alasan teknikal kerana mereka membawa nama dan lambang Malaysia di pentas antarabangsa.
Jika wujud unsur pemalsuan atau pengabaian fakta sejarah dalam dokumen rasmi, ia bukan sekadar salah tadbir tetapi satu bentuk penipuan terhadap maruah negara,” tegasnya.
Beliau turut mendesak supaya satu siasatan bebas dan telus segera dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Audit Negara bagi menyemak keseluruhan proses pengeluaran dokumen dan pendaftaran pemain naturalisasi.
“Jika terbukti berlaku kelalaian atau penyelewengan dokumen rasmi kerajaan, tindakan tatatertib dan undang-undang mesti diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pegawai atau pihak yang terlibat, termasuk di peringkat FAM, JPN dan KDN.
”Pemuda PAS menegaskan bahawa isu ini bukan soal bola sepak semata-mata, tetapi berkait langsung dengan kedaulatan undang-undang, maruah negara dan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.
“Pemuda PAS Malaysia akan terus memantau perkembangan ini dan mendesak penjelasan segera daripada Menteri Dalam Negeri serta Ketua Pengarah JPN bagi memastikan perkara ini tidak disapu di bawah karpet,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2025











