
KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang membenarkan penyediaan arak dalam satu program rasmi anjuran Tourism Malaysia.
Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, tindakan tersebut jelas tidak sensitif terhadap budaya tempatan serta menyinggung perasaan umat Islam yang merupakan majoriti rakyat negara ini.
“Malaysia mempunyai garis panduan, etika dan adab dalam menganjurkan program rasmi kerajaan dan penganjuran dengan penyediaan arak sama sekali tidak mencerminkan budaya ketimuran dan identiti Malaysia.
“Lebih malang lagi, ini bukan kali pertama YB Tiong King Sing terpalit dengan kontroversi sejak memegang jawatan. Dari isu imigresen di KLIA, video montaj Tahun Melawat Malaysia yang mengetepikan imej masjid, sehingga isu ‘Bak Kut Teh Warisan Negara’.
“Kesemuanya menunjukkan corak pentadbiran yang mengundang keresahan dan kemarahan rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Pemuda PAS Pahang mendesak Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg agar mengambil tanggungjawab penuh terhadap kuota menteri parti itu dalam Kerajaan Persekutuan.
“Sekiranya YB Tiong King Sing terus gagal menjaga maruah dan kepentingan rakyat Malaysia, GPS harus segera menukar wakil lain yang lebih layak dan berwibawa,” katanya.
Kata beliau, kerajaan tidak boleh terus membiarkan seorang menteri yang bertindak sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira nilai moral, sensitiviti agama serta identiti nasional.
“Tindakan tegas mesti diambil segera demi menjaga maruah negara di mata rakyat dan dunia,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2025











