
KUALA TERENGGANU: Kerajaan digesa bertindak tegas terhadap penganjuran majlis kerajaan yang menghidangkan arak secara terbuka, khususnya melibatkan kehadiran orang Melayu dan Muslim.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab, termasuk individu berpangkat tinggi dalam kerajaan.
“Kerajaan mesti berani menjatuhkan hukuman terhadap pihak yang bertanggungjawab, hatta seorang menteri sekalipun, jika terbukti terlibat dalam penganjuran majlis sebegini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tanpa tindakan tegas hanya akan menimbulkan tanggapan negatif terhadap kepimpinan negara dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap nilai moral yang sepatutnya menjadi tunjang pentadbiran.
Katanya, Islam juga dengan jelas melarang umatnya daripada mendekati arak, sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 90 yang menyatakan arak adalah perbuatan syaitan yang membawa kepada kerosakan sosial.
“Arak adalah punca kepada kerosakan sosial dan kehancuran masyarakat. Malah, dalam agama agama lain juga disebut tentang keburukan arak yang merosakkan akal budi manusia,” ujarnya.
Tambah beliau, menghidangkan arak secara terbuka tidak sekali kali mencerminkan budaya dan adat ketimuran yang dijunjung selama ini, malah ia adalah tindakan tidak bermaruah dan bercanggah dengan nilai murni masyarakat Malaysia.
Mohd Fadhli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang menasihatkan agar Perdana Menteri (PMX) bertindak lebih tegas dalam mengawasi setiap menteri dan pihak bawahannya.
“Jangan sekali kali mengulangi kesilapan ini kerana jika dibiarkan, bimbang negara ini akan ditimpa bala daripada Allah Taala. Ingatlah, kuasa dan jawatan hanyalah pinjaman daripada Allah.
“Ia boleh ditarik balik pada bila bila masa sahaja jika amanah ini tidak dijaga dengan penuh tanggungjawab,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2025











