
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan turut serta memeriahkan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dengan memperkenalkan pelbagai program berteraskan budaya, pelancongan dan warisan negeri.
Datuk Kamarudin Md Nor berkata, antara program utama yang dikenal pasti termasuk Festival Makanan Kelantan serta Pameran Busana Tradisional Kelantan yang akan dilangsungkan di Kuala Lumpur selepas sambutan Aidilfitri tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan memberitahu, Kelantan menjadi sebahagian daripada pelaksanaan TMM2026.
“Kita telah mengenal pasti beberapa program termasuk festival makanan dan pameran busana tradisional bagi memperkenalkan produk pelancongan negeri ke peringkat nasional,” katanya.
Beliau berkata, festival makanan berkenaan akan mengetengahkan keunikan cita rasa negeri seperti nasi dagang, budu, kerabu dan pelbagai juadah tradisional yang menjadi identiti negeri.
Pameran busana pula akan menampilkan hasil seni tekstil seperti songket dan kelingkan, serta pakaian tradisional masyarakat Kelantan yang sarat dengan nilai budaya tempatan.
“Kita ingin mempamerkan kehalusan seni dan budaya negeri melalui busana, songket dan kelingkan. Inilah kekayaan warisan yang wajar diketengahkan di pentas kebangsaan,” jelasnya.
Menurut beliau, lokasi pelaksanaan sedang dipertimbangkan sama ada di Central Market atau Padang Merdeka, Kuala Lumpur, dengan pelaksanaan dijangka sekitar bulan Mei atau Jun 2026.
“Selain memperkenalkan keunikan produk budaya negeri, penyertaan ini juga akan membantu menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Program berkenaan turut dijangka memberi impak ekonomi yang positif kepada usahawan tempatan dan sektor pelancongan negeri melalui promosi berterusan di peringkat nasional. – HARAKAHDAILY 9/10/2025




















