
KANGAR: Dalam menghadapi pelbagai cabaran sosial dan teknologi masa kini, pengukuhan institusi kekeluargaan terus menjadi asas utama dalam membentuk sahsiah dan keperibadian anak-anak.
Keluarga, menurut pandangan Islam, merupakan benteng pertama dan paling penting dalam membina asas moral serta keseimbangan hidup insan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa pendidikan awal yang bermula dari rumah khususnya melalui penerapan nilai-nilai agama, kasih sayang dan budi pekerti oleh ibu bapa atau penjaga memainkan peranan amat besar dalam membentuk jati diri anak-anak.
“Didikan yang berasaskan keimanan dan nilai murni ini menjadi panduan yang membolehkan mereka menghadapi pengaruh dunia moden dan teknologi masa kini dengan lebih bijak serta beretika,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penutupan Seminar Pembangunan Modal Insan: Keluarga Ku Bestari, Masyarakat Lestari Siri 1 yang berlangsung di Dewan Warisan, Kangar di sini Sabtu lalu.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMK) Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan dan Sumber Manusia, Muhammad Azmir Azizan.
Seminar berkenaan dikendalikan oleh AMMK Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan dan Sumber Manusia Negeri Perlis dengan kerjasama Yayasan Islam Perlis (YIPs) selaku urusetia, disertai oleh semua agensi agama Islam di negeri ini.
Program ini bertujuan memberi pendedahan tentang kaedah membina keluarga berteraskan ajaran al-Quran dan as-Sunnah, sebagai usaha melahirkan keluarga yang berjiwa rabbani, berilmu dan berakhlak mulia.
Peserta seminar terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah seluruh negeri Perlis bersama ibu bapa masing-masing, menjadikan program ini platform interaksi dua generasi dalam memahami peranan keluarga sebagai unit pembina masyarakat.
Antara topik utama yang dibincangkan termasuk ‘Keluarga Ku Bestari, Masyarakat Lestari’ serta ‘Kisah dan Taranum’.
Seminar ini menzahirkan iltizam berterusan Kerajaan Negeri Perlis dan institusi agama untuk memperkukuh asas pembangunan modal insan melalui keluarga.
Pendekatan bersepadu antara ibu bapa, guru dan institusi agama diyakini mampu membina masyarakat Perlis yang berilmu, berakhlak dan lestari selaras dengan konsep negeri ‘Perlis Bestari Berkat Lestari’. – HARAKAHDAILY 9/10/2025











