Arak majlis kerajaan: Madani hina sensitiviti rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Kelantan menyifatkan tindakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang mempertontonkan hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan sebagai biadab dan menjijikkan.

- Advertisement -

Ketuanya, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, tindakan itu jelas tidak sensitif apabila penganjur menayang arak sebagai minuman istimewa dalam program Makan Makan Global Travel Meet Gala di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur.

“Ini seolah cubaan mencabar Perlembagaan Persekutuan dan mahu membiasakan arak sebagai minuman yang tiada nilai sensitif dalam masyarakat.

“Seakan arak tiada kesan memabukkan, padahal Kementerian Kesihatan sendiri telah mengeluarkan garis panduan agar dilabelkan amaran kemudaratan terhadap kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, meskipun tiada halangan kepada bukan Islam, namun menyediakan arak secara terbuka dalam majlis rasmi kerajaan adalah suatu perbuatan angkuh dan penghinaan terhadap toleransi yang dipertahankan selama ini.

“Dalam hal ini sensitiviti umat Islam jelas dipijak-pijak oleh pihak penganjur. Ia bukan sahaja hilang adab, malah mencabar nilai keharmonian kaum,” ujarnya.

Firdaus juga mendesak kerajaan Madani menyiasat perkara itu serta menilai semula kerjasama antara Tourism Malaysia dengan sebuah jenama kopi antarabangsa yang sedang diboikot besar-besaran kerana didakwa menyokong Zionis Israel.

“Jangan sampai kerajaan Madani dicop mesra Zionis. Sebelah tangan hulur bantuan kepada Palestin, sebelah lagi bermain wayang dengan ejen ekonomi Zionis yang menindas rakyat Palestin.

“Arak membahayakan kesihatan dan perbuatan menghidangnya dalam majlis kerajaan adalah tidak wajar,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2025

- Advertisement -